Bella dilayan umpama ‘superstar’ ketika penggambaran Peninsula

UMPAMA hero kebanggaan Malaysia, pelakon Bella Rahim, 46, yang muncul sebagai watak sebagai Jane dalam filem sekuel Train To Busan berjudul Peninsula menjadi bualan seluruh negara sehingga tular.

Bella atau nama sebenarnya Siti Robela Abdul Rahim berkata, peluang membintangi filem popular Korea Selatan arahan Yeon Sang-ho itu sememangnya masih umpama mimpi apatah lagi bergandingan dengan pelakon hebat negara itu seperti Gang Dong-won dan Lee Jung-hyun.



“Badan saya masih mengigil tanda teruja dan tidak percaya terbabit dalam filem itu. Walaupun sekadar watak ‘cameo’, saya bertuah kerana terpilih dari uji bakat dari seluruh dunia.

“Sewaktu ejen saya menghubungi mengenai tawaran itu pada Mei tahun lalu, saya tidak mahu terlalu berharap. Ia tawaran filem yang sangat besar hinggalah secara sah saya mendapat watak itu sebelum berlepas ke sana menjayakan penggambaran selama seminggu di sekitar Daejeon dan Incheon,” katanya.

Paling manis buat Bella, dia tidak akan lupa pengalaman mendapat layanan istimewa seperti nama besar daripada produksi filem itu sepanjang di sana.





Menurutnya, tiada sesaat pun dirinya diabaikan sepanjang tempoh penggambaran.

“Sebaik tiba di lapangan terbang, disambut kru menaiki kereta mewah untuk dibawa ke hotel, kemudian memasuki set, sesi mencuba saiz kostum dan disediakan makanan halal, semuanya dijaga rapi. Jadual yang disediakan untuk saya memang terperinci dan teratur.

“Paling seronok apabila pengarah Yeon Sang-ho serta pelakon utama Gang Dong-won dan Lee Jung-hyun melayan saya seperti sudah lama kenal saya. Gang Dong-won ambil tahu mengenai latar belakang saya, manakala Lee Jung-hyun selamba mengajak saya bergambar.

“Tak pernah saya impikan pengalaman sebegitu walaupun saya sekadar watak tambahan. Babak saya sangat pendek tapi ketelitian mereka mahukan babak itu sempurna sehingga tahap penggambaran dihentikan semata-mata kerana perlu mengatur mekap saya,” katanya.




Lebih mengejutkan Bella, dia tidak tahu langsung bahawa kostum yang dipakainya dalam filem itu dibuat khas mengikut pakaian seragam tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Malaysia.

“Watak saya adalah Ketua Unit PBB yang ditugaskan untuk membantu waktu krisis pandemik ‘zombie’ di Korea Selatan. Saya tidak sangka sebenarnya akan memakai pakaian khas pasukan dari Malaysia.

“Sewaktu diminta menyarung pakaian itu, mulanya saya kena pakai baju biasa dulu. Kemudian, barulah saya sarung pakaian itu dan sangat terkejut ia mempunyai logo Malaysia selain pembuatannya memang sangat teliti. Tipulah kalau saya cakap tidak bangga,” katanya.

Walaupun nama Bella masih asing dalam industri filem tempatan, tetapi dia sudah berlakon teater sejak 2007. Pada 2017, dia mendapat Diploma Seni Persembahan dari École Philippe Gaulier, Perancis daripada guru yang pernah mengajar nama besar termasuk Sacha Baron Cohen, Emma Thompson dan Helena Bonham Carter.

Pada Jun lalu, dia turut dinobatkan trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Cosmo India 2020 untuk filem pendek berjudul Ikhwan.

Bella juga pernah terbabit dalam filem Ola Bola arahan Chiu Keng Guan sebagai watak tambahan.

Tahun hadapan, dia bakal menjayakan sebuah pementasan teater berjudul Didn’t Know That About You di Festival Teater Musim Bunga Norway.

Persembahan itu sepatutnya dilangsungkan April lalu namun ditunda berikutan krisis pandemik Covid-19.

Terdahulu, nama Bella menjadi bualan di sosial media selepas filem Peninsula mula ditayangkan di pawagam baru-baru ini. Ramai tidak sangka watak Jane dalam filem itu rupanya pelakon dari Malaysia.