ASP ditahan minta rasuah RM30,000

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP), kerana dipercayai meminta rasuah sebanyak RM30,000.


Pegawai polis berusia 30-an itu dikatakan meminta rasuah daripada seorang individu sebagai balasan untuk menyelesaikan kes dan memberi perlindungan kepada suspek kes jenayah.

Sumber SPRM berkata, pegawai polis berkenaan ditahan jam 6.40 petang semalam di sebuah hotel di sini.




Katanya, suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain, ketika dihubungi mengesahkan penahanan pegawai polis berkenaan.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Jumaat dan siasatan lanjut masih dijalankan. – Berita Harian