Merajuk tak dibelikan Lamborghini, kanak-kanak 5 tahun tekad pandu kereta masuk lebuh raya

OGDEN: Polis di Utah, Amerika Syarikat bertindak menahan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang sedang memandu kenderaan milik ibunya secara berseorangan dipercayai dalam perjalanan untuk membeli kereta mewah berjenama Lamborghini.


Dalam kejadian di lebuh raya daerah Weber County itu, kanak-kanak berkenaan dikatakan sedang menuju ke California yang terletak kira-kira 1,280 kilometer dari kawasan tersebut.

Menerusi satu ciapan di Twitter rasmi, polis pada mulanya menyangkakan kanak-kanak itu merupakan seorang pemandu kurang upaya (OKU).

Sebaliknya, terkejut apabila mendapati dia hanya berusia lima tahun dan berada di tempat duduk pemandu.





Menurut jurucakap Polis Lebuh Raya Utah, kanak-kanak itu tekad meninggalkan rumah menggunakan kereta ibunya selepas permintaannya untuk memiliki sebuah Lamborghini tidak mahu ditunaikan.

“Jadi dia membuat keputusan untuk memandu kereta ibunya dan menuju ke California untuk membeli kereta itu sendiri,” katanya.

Polis, berkata, dia, bagaimanapun, tidak mungkin mampu membeli Lamborghini dengan wang yang dibawa bersama hanya berjumlah AS$3.