COVID-19: Lebih 134,000 orang mungkin maut di AS menjelang awal Ogos

WASHINGTON, 5 Mei) — Satu projek yang dijalankan University of Washington meramalkan lebih 134,000 orang akan maut akibat COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) sehingga Ogos, lapor agensi berita Xinhua.

Projek dikendalikan Institut Penilaian dan Metrik Kesihatan (IHME) itu mengunjurkan 134,475 kematian akibat COVID-19 menjelang 4 Ogos.


“Unjuran itu jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini, mewakili gabungan kesan kematian, perubahan mobiliti dan penjarakan sosial” kata IHME dalam satu siaran akhbar.

New York, New Jersey, Pennsylvania, Massachusetts dan Michigan diramal mencatat jumlah korban kumulatif tertinggi.

Unjuran kumulatif kematian di negeri itu masing-masing meningkat sekurang-kurangnya 2,000, kata IHME.




Projek yang dikemas kini itu menunjukkan AS berada di puncak penularan wabak berpanjangan, hampir atau lebih 2,000 orang maut dalam sehari selama beberapa minggu, menurut IHME.

Banyak negeri di AS sudah mula melonggarkan sekatan pergerakan secara bertahap, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan kerana ia boleh menyebabkan lonjakan kes baharu jangkitan COVID-19.- BERNAMA