Budak 4 tahun maut jatuh tingkat 12 kondominium

AMPANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan memaklumkan mengenai insiden tersebut pada jam 6.54 petang.




“Mangsa ialah anak sulung daripada dua beradik. Ketika kejadian bapanya berusia 51 tahun keluar rumah untuk membeli juadah berbuka puasa, manakala ibunya berusia 27 tahun tinggal di rumah bersama mangsa dan adiknya berusia tujuh bulan pada jam 5.30 petang.

“Ibu mangsa kemudian turun ke tingkat bawah untuk ambil juadah berbuka puasa. Mangsa pula ditinggalkan sambil bermain telefon bersama adiknya di dalam bilik tanpa berkunci,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Noor Azmi berkata, setelah ibu mangsa pulang semula ke rumah, dia mendapati pintu koridor terbuka dan mangsa terjatuh ke tingkat tiga dari balkoni rumahnya.




“Ibu mangsa membawa mangsa ke Hospital Ampang dengan menaiki ambulans,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati bapa mangsa tidak pernah memohon dokumen kelahiran MyKid anaknya berikutan pasangan suami isteri itu tiada dokumen pernikahan sah kerana bernikah di Thailand.

“Doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira jam 7.33 malam dan berdasarkan laporan bedah siasat punca kematian adalah akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan tengkorak pecah serta pelbagai kecederaan luaran dan dalaman kesan jatuh dari tempat tinggi.

“Kes telah diklasifikasi di bawah seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan,” katanya.