3 beradik dijumpai mati lemas

OPERASI mencari dan menyelamat tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, petang semalam berakhir dalam tempoh 24 jam apabila ketiga-tiga mangsa ditemui hari ini.

Mayat ketiga-tiga mangsa, Umar Iskandar Mohd, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16, ditemui antara jam 9.50 pagi hingga 12.40 tengah hari.



Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Md Hilman Abdul Rashid berkata, pihaknya memulakan operasi sebaik menerima laporan kejadian jam 6.30 petang semalam.

“Operasi yang disertai seramai 85 anggota membabitkan polis, bomba, APM, Unit Pengesan Anjing (K9) dan Rela mengambil masa selama 18 jam sebelum kesemua mangsa ditemui.

“Semua mangsa ditemui pada jarak antara 50 meter antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Terdahulu mereka dikatakan ke sungai itu 6 petang dan kejadian disedari empat lelaki yang memancing di tebing Sungai Kampung Mesah berhampiran seberang sungai tempat berlaku kejadian.




“Empat pemancing mendakwa nampak mangsa mandi dan tidak lama kemudian saksi terdengar suara meminta tolong sebelum ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, saksi mendapati mangsa sudah hilang,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, bapa mangsa yang ke lokasi kejadian mengesahkan semua mangsa adalah anaknya berdasarkan pakaian dan telefon bimbit yang ditinggalkan di tebing sungai.