23 anak muda hadir jamuan Aidilfitri dikompaun

GURUN: Seramai 23 individu dikompaun RM1,000 seorang selepas didapati berkumpul di sebuah rumah bagi menghadiri jamuan Aidilfitri di Simpang Setia Jaya, Guar Chempedak, di sini, malam tadi.




Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata pemeriksaan di rumah terbabit dilakukan ketika polis melakukan tugas rondaan penguatkuasaan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada jam 8.30 malam.

“Ketika polis tiba didapati seramai 23 orang sedang menghadiri sambutan Aidilfitri atas jemputan tuan rumah.

“Polis kemudian mengarahkan semua mereka yang berusia 19 hingga 25 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.




Shahnaz berkata, hasil siasatan mendapati semua mereka mengaku berada dan berkumpul di rumah berkenaan untuk tujuan jamuan makan.

Beliau berkata, pemilik rumah berusia 24 tahun juga mengaku menjemput beberapa rakan baiknya dan saudara ke rumah kerana membuat jamuan pada tarikh dan masa kejadian.

“Semua mereka didapati berhimpun dan ingkar PKPB, berikutan itu, polis mengeluarkan surat kompaun kepada semua individu terbabit,” katanya sambil menambah mereka disiasat mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.