Pasukan Singa Utara hanya tinggal nama

Lebih memburukkan keadaan PFA juga dipercayai digantung daripada sebarang aktiviti oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sejak awal tahun lalu sekali gus tidak boleh menjalankan segala aktiviti termasuk melaksanakan liga di peringkat negeri.



Situasi itu menyaksikan segala pembangunan bola sepak Perlis boleh dikatakan sudah ‘mati’ dan hanya tinggal kenangan dengan semua peringkat atau kategori tidak boleh disertai oleh mereka.

Difahamkan, pemilihan pucuk pimpinan PFA sebelum ini menghadapi pelbagai masalah dengan terdapat perbalahan dalaman sekali gus memaksa mereka melaksanakannya semula minggu ini.

Bekas pemain kebangsaan era 80-an dan Perlis, Bakri Ibni berkata, hingga kini tiada jalan penyelesaian sekali gus menyaksikan pasukan itu boleh melupakan untuk kembali beraksi dalam kancah Liga Malaysia.




Bakri berkata, setakat ini beliau tidak melihat lagi individu yang boleh memimpin PFA selain pelantikan barisan kepimpinan sebelum ini hanya mempunyai motif peribadi semata-mata.

“Pasukan Perlis bukan lagi akan tersungkur namun sebenarnya sudah berkubur kerana hingga kini tiada sebarang perkembangan mengenai kepimpinan yang kukuh dalam PFA.

“Masalah ini terjadi apabila ada individu yang tiada kepakaran atau tidak ikhlas memimpin pasukan dilantik oleh pihak tertentu dan akhirnya apa yang terjadi seperti yang anda lihat sekarang ini.

“Jika mahu selamatkan bola sepak Perlis, lakukan sekarang dan lantiklah pemimpin yang berkaliber dan bukannya tangkap muat hingga menjahanamkan PFA,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan Perlis dalam saingan Liga M musim lalu kerana tidak memiliki jaminan kewangan kukuh untuk terus bertahan sepanjang musim 2019.