Mbappe, Sterling, Salah paling bernilai di dunia

LONDON: Kylian Mbappe muncul pemain paling bernilai di dunia dengan bintang Manchester City, Raheem Sterling menduduki tempat kedua manakala sensasi Liverpool, Mohamed Salah berada di tangga ketiga.



Mbappe yang juga penyerang Paris Saint-Germain (PSG) dan Perancis yang baru berusia 21 tahun berada di kedudukan pertama berdasarkan perkembangannya di puncak bola sepak Eropah.

Pemantau Bolasepak CIES melakukan kajian meluas untuk menyenaraikan pemain berdasarkan nilai mereka dalam bola sepak Eropah.

Mereka membandingkan pemain di England, Sepanyol, Itali, Perancis dan Jerman menggunakan pelbagai faktor termasuk umur, kelab, kedudukan dan liga.

Mereka juga mengambil kira tempoh kontrak, skuad kebangsaan dan ekonomi kelab yang berminat terhadap setiap pemain berkenaan untuk menganggarkan nilai mereka.

Mbappe, yang dikaitkan dengan Liverpool dan Real Madrid dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dianggarkan bernilai £225 juta (RM1.1 bilion), menurut kajian itu.




Sterling di kedudukan kedua dalam senarai itu dianggarkan bernilai £190 juta (RM1 bilion) dengan dia terus menarik perhatian Manchester City dan England berikutan perpindahan £50 juta (RM226 juta) dari Liverpool pada 2015.

Liverpool patut menjual Salah sekitar £149 juta (RM794 juta) jika pemain Mesir itu memilih berhijrah ke pasukan lain dalam masa terdekat, manakala Jadon Sancho dari Borussia Dortmund bernilai £143 juta (RM762 juta).

Manchester United dan Chelsea mungkin terbabit dalam perang bidaan untuk mendapatkan khidmat Sancho pada musim panas ini dengan Borussia Dortmund dikatakan sedia melepaskannya.

Sadio Mane, Harry Kane dan Marcus Rashford menjadi pemain seterusnya berada dalam senarai 20 pemain paling bernilai dengan Liga Perdana Inggeris mendominasi pesaing mereka di Eropah.





Lionel Messi berada di kedudukan kelapan dalam senarai selepas nilainya merosot kerana faktor usia, sementara Cristiano Ronaldo tidak termasuk dalam senarai itu. – AGENSI

Senarai 20 pemain paling bernilai

1. Kylian Mbappe (RM1.1 bilion)

2. Raheem Sterling (RM1 bilion)

3. Mohamed Salah (RM794 juta)

4. Jadon Sancho (RM762 juta)

5. Sadio Mane (RM703 juta)

6. Harry Kane (RM682 juta)

7. Marcus Rashford (RM607 juta)

8. Lionel Messi (RM570 juta)

9. Antoine Griezmann (RM559 juta)

10. Lautaro Martinez (RM522 juta)

11. Gabriel Jesus (RM522 juta)

12. James Maddison (RM511 juta)

13. Timo Werner (RM506 juta)

14. Roberto Firmino (RM506 juta)

15. Trent Alexander-Arnold (RM501 juta)

16. Richarlison (RM469 juta)

17. Tammy Abraham (RM469 juta)

18. Joao Felix (RM458 juta)

19. Neymar (RM453 juta)

20. Romelu Lukaku (RM453 juta)