Guna lidi curi duit tabung masjid

LELAKI berusia 51 tahun ditahan ketika cuba mencuri wang dalam tabung Masjid Temerloh Jaya awal, Temerloh awal pagi semalam.


Kehadiran lelaki itu dikesan petugas pondok kawalan keselamatan Taman Temerloh Jaya yang memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu, 2.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, tindakan pantas petugas membolehkan suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis.




“Suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Siasatan awal kita mendapati suspek menggunakan lidi bagi mengeluarkan duit dari tabung berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu berseorangan.

Katanya, suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan curi dalam bangunan.