FAM mohon maaf dituduh ‘claim’ kejayaan skuad B-15 tewaskan Australia

Image may contain: 11 people, people smiling, textPersatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah membuat permohonan maaf di atas kenyataan yang mereka keluarkan pada malam semalam selepas kejayaan skuad bawah 15 tahun negara menewaskan Australia 3-0 dalam aksi ketiga Kumpulan B, Kejuaraan Piala B-15 AFF 2019 di Chonburi, Thailand.



Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam permohonan maaf tersebut yang disiarkan menerusi laman sosial FAM menyatakan bahawa FAM tidak berniat mahu mengambil kredit di atas kejayaan skuad kendalian P.Maniam itu yang dikatakan adalah hasil segera daripada DNA Bolasepak Malaysia yang baru dilancarkan oleh FAM pada 9 Julai lalu.

Menurut Stuart, apa yang sebenarnya cuba disampaikan adalah kejayaan yang ditunjukkan oleh skuad bawah 15 tahun negara termasuk dalam kejohanan sebelum ini menunjukkan bahawa mereka berada di landasan yang tepat dan seiring dengan apa yang cuba diterapkan oleh DNA Bolasepak Malaysia yang diperkenal.

“Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) merupakan projek yang dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kerjasama baharu yang terjalin sejak Disember 2018.





“Kami gembira melihat kerjasama ini telah mula membuahkan hasil dan pencapaian pasukan-pasukan remaja negara seperti yang ditampilkan skuad B-15 kebangsaan ini jelas menunjukkan bahawa projek ini sedang berjalan dengan baik dan lancar,” kata Stuart seperti yang disiarkan dalam kenyataan itu.

FAM juga telah memadam kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi mereka malam tadi serta mengucapkan terima kasih kepada barisan penggerak NFDP serta pihak Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang telah membantu pemain-pemain muda negara selama ini.

Skuad bawah 15 tahun negara akan berdepan dua lagi perlawanan peringkat kumpulan, iaitu menentang Laos esok dan tuan rumah, Thailand pada hari Isnin untuk melayakkan diri ke separuh akhir. – foxsport