VIDEO Liverpool bergaya ke separuh akhir

MANCHESTER, England: Liverpool melangkah ke saingan separuh akhir Liga Juara-Juara dengan penuh bergaya selepas membenam Manchester City 2-1, dalam aksi pusingan kedua peringkat suku akhir, pagi tadi.




Jaringan di babak kedua oleh Mohamed Salah dan Roberto Firmino di Stadium Etihad sudah cukup untuk membolehkan Liverpool mara dengan kelebihan agregat 5-1.

Selepas tumbang 0-3 pada pusingan pertama peringkat suku akhir di Anfield, pengurus City, Pep Guardiola perlu mempamerkan permainan sempurna di laman sendiri bagi memadam kelebihan dimiliki Liverpool, namun mereka gagal melakukannya sepanjang 45 minit pertama.

Gabriel Jesus meledak gol pertama, dua minit selepas sepak mula untuk membuatkan penyokong tuan rumah bergembira dan City berterusan melancarkan serangan untuk menambah jaringan.

Percubaan Bernardo Silva terkena tiang pada minit ke-40, dan dua minit kemudian, Leroy Sane pula dipersalahkan selepas berada dalam kedudukan ofsaid.

Usaha City memburu gol awal tampak buntu, sebaliknya, pasukan pelawat yang bijak menyempurnakan peluang untuk menghasilkan gol di tempat lawan, sekaligus menambah tekanan buat City.




Liverpool meraih gol pertama hasil tindakan susulan oleh Salah yang bijak memanfaatkan bola muntah pada minit ke-56 dan 13 minit kemudian, Firmino menambah derita tuan rumah untuk merakam kemenangan ketiga ke atas City sepanjang musim ini.



Selepas mempamerkan gaya permainan menyerang pada pusingan pertama di laman sendiri, Liverpool melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan di Manchester – mempertahankan kelebihan tiga gol dan membuktikan mereka layak ke separuh akhir pertama dalam tempoh 10 tahun. – AFP