Tiada komplot lawan Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan menafikan ada komplot untuk menghalang Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin daripada menduduki kerusi presiden apabila mahu mencalonkan individu lain untuk bertanding pada pemilihan di Kongres FAM, 14 Julai depan.




Beliau berkata, Hamidin masih lagi calon pilihan mereka selepas mendapat sokongan padu ramai pihak.

“Sekarang ini keutamaan kita untuk (mencalonkan) Hamidin berdasarkan pengalamannya. Insya Allah keutamaan kami kepadanya, tidak ada calon lain,” katanya.

Selepas Exco FAM menerima peletakan jawatan presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2 April lalu, kesemua 20 ahli gabungan mempunyai masa sehingga 11 Mei depan untuk menghantar nama calon masing-masing untuk bertanding pada Kongres FAM nanti.





Meskipun Hamidin yang namanya dicadangkan oleh Tunku Ismail sebagai penggantinya menjadi calon pilihan ramai namun difahamkan ada persatuan negeri tidak bersetuju dengan pencalonan itu dan cuba mempengaruhi ahli gabungan lain untuk mencabar Hamidin.

Antara alasan yang mencetuskan rasa kurang senang itu adalah apabila mereka menganggap Hamidin tidak berani membuat keputusan dan hanya bertindak sebagai proksi Tunku Ismail.

Bagaimanapun Puhat menganggap, persepsi itu tidak akan menghakis keyakinan mereka terhadap kemampuan Hamidin menerajui FAM.



“Pada saya tak timbul soal proksi. Pada saya lebih kepada pengalaman beliau dalam mengendalikan bola sepak Malaysia dan hubungan beliau dengan bola sepak antarabangsa FIFA dan sebagainya, itu lebih penting. Tak timbul soal proksi sesiapa,” katanya yang mengesahkan PAFA akan menghantar pencalonan minggu depan.

Berdasarkan laporan Sukan NSTP sebelum ini, lebih lapan pencalonan sudah dihantar oleh ahli gabungan yang kesemuanya memberi sokongan kepada Hamidin.