Perairan Filipina Mula Dibanjiri Sotong Raksasa

MANILA – Nelayan di selatan Filipina gempar apabila mendakwa kawasan perairan pulau Tawi-Tawi di wilayah autonomi Islam Mindanao kemungkinan besar dibanjiri banyak sotong bersaiz raksasa.




Ia susulan penemuan seekor sotong gergasi yang berenang berdekatan dengan pantai di desa Sibutu, sebuah pulau kecil oleh seorang nelayan tempatan pada Jumaat minggu lalu, menurut laporan media setempat semalam.

Kemunculan hidupan laut itu menyebabkan ramai penduduk perkampungan tersebut cuba berusaha menariknya ke daratan dengan mereka turut bergotong-royong menangkapnya secara beramai-ramai seumpama acara pesta.

Sotong sepanjang 2.5 meter tersebut dipercayai daripada sekelompok sotong bersaiz amat besar yang mungkin tersesat jauh ke kawasan pulau dengan perairan cetek akibat ditolak kuat arus gelombang air laut dalam.





Ketika dibawa ke pantai, ramai penduduk desa berkenaan tidak melepaskan peluang mengerumuni sotong itu dengan perasaan kagum dan ada yang merakamnya dengan video sehingga menjadi tular menerusi media sosial.

“Saya kenal nelayan yang menangkap sotong raksasa ini. Dia amat sukar membawa haiwan ini kerana sangat berat. Uniknya, sotong itu begitu bersih, putih, dan cerah,” kata Harold Eduardo Curtis, seorang nelayan di Tawi-tawi.

Tambahnya, sotong bersaiz gergasi itu amat sihat dan dia yakin rasa dagingnya adalah lazat apabila dimasak. Tawi-Tawi terletak kira-kira 1,100 kilometer dari ibu kota Manila serta bersempadan laut dengan Malaysia dan Indonesia.



“Ini adalah sotong terbesar pernah ditangkap dan mungkin pecah rekod rantau Asia tenggara. Nampaknya ia berasal dari kelompok sotong raksasa sehingga mungkin berukuran sama atau lebih besar masih banyak di lautan,” katanya.

Pakar seismologi dari Jepun, Kiyoshi Wadatsumi dalam pada itu memberi amaran, kemunculan banyak hidupan aneh bersaiz gergasi sebenarnya menunjukkan ada berlaku pergerakan dasar bumi dan kesan cuaca global terkini.

Makhluk marin ujarnya, amat sensitif dengan sebarang perubahan waima kecil. Awal tahun lalu, Filipina gempar dengan penemuan banyak haiwan laut aneh di pantai ekoran gempa 6.8 skala Richter. – Agensi/Mynewshub.cc