Hafizh berani – Poncharal

Related imagePENGURUS pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal memberi motivasi terbaik buat Hafizh Syahrin Abdullah meskipun pelumbanya itu tidak menamatkan perlumbaan di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, hujung minggu lalu.




Herve memuji sikap Hafizh yang pada mulanya terjatuh ketika sesi pemanas badan sebelum bangkit untuk memulakan perlumbaan sebelum nasib malang itu sekali lagi menimpanya ketika bersaing dalam kelompok depan.

“Saya amat bersimpati dengan Hafizh apabila sekali lagi menunjukkan persembahan menarik minggu ini,” kata Poncharal.

“Ia mungkin mencetuskan penamat yang baik, tetapi terjatuh di sesi pemanas badan dan menggunakan tayar baharu membawanya ke satu sisi yang lain.





“Dia dengan berani mahu memulakan perlumbaan, dia melakukannya, dia pantas dan mampu berada sehingga ke posisi ke-11 tetapi dia melakukan kesilapan kecil yang menyebabkan dirinya terjatuh.

“Meskipun tidak mengutip sebarang mata, Hafizh masih mengungguli kedudukan dalam carta muka baharu dalam kelas perdana MotoGP dengan sembilan mata di depan pencabar dari Itali, Franco Morbidelli (enam mata).



“Apapun, dia masih mendahului klasifikasi rookie (muka baharu) dan kami amat berbangga. Dia sedang belajar dan saya fikir dia akan sangat kuat di Sepanyol dan Perancis,” kata Poncharal.

Pusingan keempat musim selepas ini dijadual berlangsung di GP Espana di Litar Jerez pada 6 Mei ini sebelum beralih ke perlumbaan laman sendiri bagi pasukan di GP Perancis, 14 hari kemudiannya.