Dua peminat muda negara ke Russia

KUALA LUMPUR: Dua peminat bola sepak muda negara, Imran Zakaria dan Lauren Hoh dipilih mewakili Malaysia pada Program Sosial Kanak-Kanak Antarabangsa Bola Sepak untuk Persahabatan (F4F) yang akan diadakan di Russia, Jun ini.




F4F dalam kenyataan berkata program mendapat sokongan syarikat minyak Russia, Gazprom dan badan induk bola sepak dunia, FIFA, bertujuan untuk pembangunan bola sepak belia dan gaya hidup sihat serta mempromosi toleransi, berfikiran terbuka dan persahabatan dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.

Kenyataan itu berkata ia kali pertama program berkenaan disertai wakil dari Malaysia, bersama-sama dengan kanak-kanak dari 210 negara.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan sama, berkata pemilihan kedua-dua peminat bola sepak muda itu menunjukkan sokongan berterusan persatuan itu ke arah inisiatif global yang unik.





“Program ini peluang terbaik untuk ‘duta-duta’ itu untuk membina hubungan persahabatan dalam kalangan kanak-kanak dari seluruh dunia serta memupuk keamanan dan keharmonian melalui bola sepak,” katanya.

Imran, 16, yang juga pemain bola sepak, akan menyertai barisan jurulatih muda dari seluruh dunia di Moscow, yang akan menjadi sebahagian daripada 32 Pasukan Persahabatan Antarabangsa, bagi melatih pemain bola sepak muda bersaing dalam Kejohanan Antarabangsa F4F Gazprom di Russia.

Lauren,12, yang juga peminat bola sepak, dalam pada itu akan bertindak selaku wartawan dan akan membuat liputan semua aktiviti setempat dan global mengenai program F4F sebagai sebahagian daripada program Pusat Media Kanak-Kanak Antarabangsa.



Kedua-dua mereka juga akan menyertai Forum Bola Sepak Kanak-Kanak untuk Persahabatan Antarabangsa keenam, yang membolehkan bertemu rakan sebaya mereka dari negara lain, berkongsi pengalaman dan berbincang dengan pemain serta wartawan terkemuka untuk bagaimana mempromosi nilai-nilai kemanusiaan dalam program F4F di seluruh dunia.

Musim keenam program F4F itu akan berakhir dengan kehadiran kanak-kanak berkenaan ke majlis perasmian dan perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA 2018, yang akan turut berlangsung di Russia. – BERNAMA