VIDEO Bolos Minit Akhir, Harimau Malaya Berputih Mata

Rabih Ataya jinakkan Harimau Malaya Gol dalam masa kecederaan oleh pemain gantian Lubnan, Rabih Ataya, membuatkan Harimau Malaya terpaksa berputih mata dalam saingan Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Larkin, malam ini.

Skuad kebangsaan yang turun dalam perlawanan pertama kempen ini mempertaruhkan gandingan Khairul Helmi Johari dan Shahrom Kalam di barisan pertahanan dan kedua-duanya tampak kemas mengemudi skuad negara dalam ujian pertama buat pengendali baru, Nelo Vingada.

Lubnan memiliki peluang untuk mendahului pada minit ke-26 apabila kapten, Hassan Maatouk, dijatuhkan Khairul Helmi, namun pengadil bertindak meneruskan perlawanan kerana pertahanan negara itu dilihat mendapatkan bola terlebih dahulu.

Bagaimanapun, taktikal serangan balas skuad kebangsaan hampir memberikan gol apabila bola rembatan kaki kiri Syazwan Zainon sipi melewati tiang kiri gol pelawat tatkala penjaga gol, Mehdi Khalil, telah pun tertewas.

Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba ketika separuh masa pertama berbaki tiga minit apabila Mahali Jasuli bijak menyudahkan kesilapan Mehdi untuk mudah meletakkan Malaysia mendahului 1-0.






Babak kedua menyaksikan tuan rumah lebih banyak bertahan sehingga membuka ruang buat Lubnan untuk mengatur gerakan serangan bertali arus.

Serangan demi serangan mereka membuahkan hasil apabila pemain gantian, Rabih, bijak melencongkan bola dari sebelah kiri pintu gol Malaysia yang memperdayakan penjaga gawang, Khairul Azhan Khalid, untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Pemain gantian, Amri Yahyah, kemudian hampir meletakkan Malaysia kembali di depan beberapa minit selepas itu, namun rembatan kaki kirinya sekadar melewati palang.

Tatkala perlawanan seakan-akan berakhir dengan seri, Rabih muncul pemusnah buat skuad negara apabila memanfaatkan umpanan lolos kaptennya, Hassan, untuk menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-94 untuk memastikan Lubnan pulang dengan tiga mata.

Dalam satu lagi pertemuan Kumpulan B, Hong Kong yang melayani kunjungan Korea Utara, masing-masing memungut satu mata apabila perlawanan berkesudahan 1-1 .