Tiga Banduan Dikesan Seludup 19 Telefon Bimbit Di Dalam Badan

Tiga banduan ditangkap dengan 19 telefon bimbit di dalam badan mereka selepas dikesan alat pengesan logam di penjara mereka.

Mereka diarahkan menjalani X-ray selepas penggera alat pengesan itu berbunyi ketika pemeriksaan di penjara di Presidente Bernardes, Sao Paulo.

Seorang banduan ditemui dengan lima telefon bimbit kecil di dalam duburnya manakala rakannya menyembunyikan empat.

Banduan ketiga mempunyai 10 alat berkenaan di dalam perutnya malah turut ditemui fon kepala dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan semuanya.

Dua banduan yang menyorokkan telefon bimbit di dalam dubur tidak memerlukan sebarang rawatan.





Polis merampas peralatan berkenaan dan kejadian itu masih disiasat.

Menurut sumber, penjara itu dibuka pada November 1990 dan mempunyai lebih 2,041 banduan – menjangkau kapasiti untuk 1,247 orang.

Jenis telefon bimbit ditemui di dalam badan lelaki terbabit tidak dinyatakan, tetapi model paling kecil di pasaran adalah J8CZ yang berukuran 68 x 23 x 11 milimeter.

Menurut pembuatnya, telefon itu sesuai untuk dibawa ke majlis keraian kerana boleh disimpan dalam baju walaupun kocek terlalu kecil.