VIDEO Penyokong Tok Gajah Lontar Bom Asap Di Stadium Darul Makmur

bolaKUANTAN 12 Ogos – Perlawanan Piala Malaysia Kumpulan B antara Pahang dan Kuala Lumpur di Stadium Darul Makmur di sini dicemari insiden balingan beberapa bom asap di tepi kawasan padang ketika perlawanan menghampiri minit akhir perlawanan.

Ekoran balingan bom asap pada minit ke-80 itu, pengadil Fitri Maskon terpaksa menghentikan perlawanan seketika untuk membolehkan bom asap itu dialihkan.

Perbuatan itu berlaku sejurus tindakan individu tidak bertanggungjawab membaling mercun, dipercayai dari luar stadium, memasuki kawasan tepi padang.

Dipercayai dilakukan kumpulan penyokong fanatik Tok Gajah, kumpulan berkenaan turut bersorak meminta supaya jurulatih Razip Ismail berundur.

Selepas tamat perlawanan, kumpulan penyokong berkenaan masih berkumpul dan terpaksa dileraikan oleh pihak polis sebelum keadaan kembali terkawal.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, ekoran kejadian itu enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka ditangkap lebih sebagai langkah pencegahan, mereka bertindak agresif dan kami tahan mereka untuk kenal pasti sama ada mereka terlibat dengan dadah atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak tiga bom asap dibaling dan polis mengambil masa kira-kira 15 minit untuk meredakan keadaan selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan berkenaan, Pahang menewaskan Kuala Lumpur 2-1.

Tok Gajah membuka jaringan pada minit ke-29 menerusi Claudio Andres Meneses dan Jailton De Campos minit ke-63.

Kuala Lumpur memperoleh gol tunggal pada minit ke-46 menerusi jaringan Leonardo Moreira.

UTUSAN