Tidak Boleh Elak, Jadual Liga Memang Padat – FMLLP

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam menegaskan jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang terlalu padat tidak dapat dielakkan kerana kesemua perlawanan perlu dihabiskan sebelum November ini.

Kevin berkata, jadual Liga M 2016 menjadi padat kerana perlawanan terpaksa dimulakan lewat berikutan banyak aksi pada musim lalu terpaksa dibatalkan disebabkan masalah jerebu.

Selain itu, kesemua perlawanan liga perlu ditamatkan termasuk Piala FA dan Piala Malaysia sebelum November ini di mana bakal berlangsungnya kejohanan Piala AFF.

“Jadual perlawanan padat bukan disebabkan aksi liga dan Piala Malaysia diadakan serentak tapi kerana saingan liga pada musim lalu habis lambat.

“Pada masa yang sama, kami pula terpaksa menghabiskan liga dalam tempoh yang cukup singkat iaitu pada Oktober. Januari tiada perlawanan diadakan begitu juga sewaktu Ramadan. November dan Disember pula berlangsungnya Piala AFF.

“Jadi kalau dikira semula secara teliti, tempoh masa yang kami ada untuk menghabiskan kesemua perlawanan liga termasuk Piala FA dan Piala Malaysia terlalu singkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini timbul rungutan dalam kalangan pengendali pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang mengatakan pemain mereka kepenatan selain beraksi di bawah tahap sebenar selepas menghadapi jadual perlawanan yang padat.


Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan liga luar sebagai contoh Liga Perdana Inggeris (EPL), jumlah perlawanan yang terpaksa dihadapi oleh mereka jauh lebih banyak berbanding liga tempatan.

Selain itu juga, perlawanan EPL pada musim lalu tetap diteruskan meskipun sehari selepas sambutan perayaan Hari Krismas, manakala Liga M mengambil masa enam hari untuk bersambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri menerusi aksi pertama kumpulan Piala Malaysia.

Dalam pada itu, Kevin memberitahu, pada musim ini FMLLP telah memberi kelonggaran kepada setiap pasukan untuk mendaftar 30 pemain berbanding 25 sebelum ini, selain tidak mengenakan sebarang had bagi menyerap pemain muda ke dalam skuad senior.

“FMLLP sudah beri peluang kepada setiap pasukan untuk memperbesarkan lagi skuad mereka. Sebelum ini, hanya 25 pemain dibenarkan untuk didaftarkan tapi kami menambah lima lagi menjadikan 30 pemain.

“Selain itu, kami turut memberi kelonggaran dengan tidak menghadkan jumlah pemain muda untuk diserapkan ke dalam skuad senior.

“Untuk pengetahuan, hanya enam pemain muda dibenarkan menyertai skuad senior pada musim lalu. Itu semua dibuat bertujuan untuk memperbanyakkan lagi pilihan pemain,” katanya lagi.

Tambah Kevin, jika sesebuah pasukan beraksi dalam semua perlawanan liga serta layak ke final Piala Malaysia, ia menjadikan jumlah keseluruhan 40 perlawanan. Namun, rata-rata pasukan beraksi 32 hingga 30 perlawanan untuk satu musim.

Sebagai rekod, final Piala Malaysia 2015 diadakan pada 12 Disember selepas beberapa pertemuan terpaksa dibatalkan akibat jerebu dan aksi pertama Liga M musim ini berlangsung pada Februari.

Malah, tiada sebarang perlawanan diadakan pada Ramadan tahun ini berbanding tahun lalu.