Tiada Kolam Renang, Zlatan Ibrahimovic Pindah Hotel

ZLATAN Ibrahimovic mengambil keputusan untuk keluar dari hotel yang menjadi kegemaran kelab Manchester United hanya kerana ia tidak mempunyai kolam renang.

Penyerang dari Sweden itu telah membawa keluar keluarganya dari Hotel Lowry, sebuah hotel lima bintang yang digunakan pasukan United sejak sekian lama setiap kali menjelangnya perlawanan di tempat sendiri. Dia kemudian mendaftar masuk di hotel Radisson Blu yang sering menjadi pilihan Manchester City.

Ibrahimovic membuat keputusan itu kerana tidak seperti Lowry, Radisson mempunyai kolam renang.

Ibrahimovic yang dibeli United untuk musim panas, bersama anak dan isterinya Helena kini tinggal di Radisson sementara mendapatkan tempat tinggal yang sesuai di Manchester.


Pemain berusia 34 tahun itu, yang beralih dari Paris Saint-Germain, membuat permulaan yang sangat menarik dalam kerjaya bersama United dengan menjaringkan gol pertamanya, empat minit selepas kali pertama bermain untuk kelab itu menentang Galatasaray di Gothenburg malam Sabtu.

Dengan kesediaan United untuk melengkapkan rekod dunia perpindahan £100 juta dengan menandatangani perjanjian untuk Paul Pogba dari Juventus minggu ini, Ibrahimovic percaya ‘sesuatu yang besar’ akan berlaku di Old Trafford.

Dia berkata kepada stesen televisyen Sweden Kanal 5: “Sesuatu yang besar akan berlaku, ia kelihatan sangat menarik. Mari kita lihat jika Pogba juga menyertai kami, maka ia akan menjadi lebih menarik.”

Jika perpindahan ini sah, Pogba akan menjadi pembelian musim panas keempat United selepas ketibaan Ibrahimovic, Eric Bailly dan Henrikh Mkhitaryan.

mStar