Tiada Hubungan Diplomatik Dengan Israel, Malaysia Tolak Jadi Tuan Rumah Kongres FIFA 2017

fifa-congressPersekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik hak Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kongres FIFA 2017.

Keputusan itu dibuat susulan kegagalan FAM memberi jaminan terhadap semua deligasi dari setiap negara untuk memperolehi visa masuk ke Malaysia.

Difahamkan badan induk bola sepak negara itu sudah dimaklumkan FIFA mengenai perkara tersebut pada Selasa.

Namun usaha untuk mendapatkan komen FAM mengenai keputusan tersebut tidak berjaya.

Menurut sumber FAM, pihak pengurusan itu akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Isnin depan.

FIFA menganugerahkan hak penganjuran itu kepada Malaysia pada Disember 2013.

Antara alasan FIFA susulan pembatalan itu termasuk kesukaran yang mungkin dihadapi oleh delegasi negara tertentu seperti Israel.

Malaysia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik dan rakyatnya tidak bebas memasuki kedua-dua negara itu.


Malaysia menganjurkan Kongres Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada tahun lalu dan menyambut kehadiran delegasi dari seluruh dunia.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan berpegang kepada dasar tidak me­nerima negara yang tiada hubungan diplomatik dengan Malaysia, lebih-lebih lagi syaratnya perlu mengibarkan bendera di meja dan di luar tempat persidangan.

Malaysia menolak tawaran menjadi tuan rumah Kongres Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2017 bukan dilucutkan hak oleh FIFA kerana tidak mahu meletakkan negara dalam risiko yang terlalu tinggi terutamanya dalam soal keselamatan dan penglibatan Israel.

“Risiko terlalu tinggi berbanding faedah panganjurannya, maka lebih baik kita mengelak daripada menjadi tuan rumah kepada Kongres FIFA 2017, walaupun sukan untuk semua kita kena faham sensitiviti yang ada di Malaysia.

“Kita juga perlu melihat risiko yang bakal dihadapi dari segenap sudut sekiranya menjadi penganjur untuk kongres berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 2/2016 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian untuk mengulas mengenai tindakan FIFA yang memutuskan Malaysia tidak akan menjadi tuan rumah Kongres FIFA 2017 yang melibatkan pengundian Piala Dunia 2026 berikutan kemungkinan wakil beberapa negara seperti Israel tidak dibenarkan masuk.