Tewas Hanya Dua Kali Dalam Empat Pertandingan, JDT Kelab Terbaik Di Malaysia – TMJ

tmjTunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan walaupun terdapat segelintir pihak ‘meraikan’ kekalahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangan Perak, pasukan itu telah berjaya memperolehi dua trofi pada tahun ini.

Tunku Ismail berkata, kejayaan kelab bola sepak tidak diukur berdasarkan kemenangan atau kekalahan dalam sesuatu perlawanan tetapi melalui kemajuan pasukan seperti memenangi piala, kekuatan kewangan serta pencapaian secara keseluruhan.

“Ini caranya kita menilai kejayaan. Walaupun anda begitu gembira kerana JDT tewas 3-0 dalam saingan Piala Malaysia, tidakkah anda sedar bahawa kami sudah memiliki dua trofi dalam simpanan kami untuk tahun ini?

“Walaupun ramai gembira kerana JDT tewas 3-0, di manakah kedudukan anda dalam liga?,” soalnya menerusi kemas kini status di laman sosial Johor Southern Tiger hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, walaupun ada pihak berharap agar JDT tewas dalam persaingan liga tahun ini, kelab ini sudah pun berada dalam pertandingan AFC tahun hadapan berikutan kejayaan memenangi Piala FA.

Pada masa sama, Tunku Ismail memaklumkan bahawa beliau turut dijemput ke untuk menghadiri Sidang Kemuncak Dunia Bola Sepak di Sepanyol manakala jurulatih JDT, Mario Gomez juga dijemput ke China untuk menyertai Bengkel Kejurulatihan, khusus buat barisan jurulatih terkemuka di Asia.

“Pencapaian bagi kami adalah mencipta sejarah. Pencapaian bagi anda adalah menewaskan kami.

“Kami bermain dalam empat pertandingan dan hanya tewas dua kali. Jadi beritahu saya jika ini adalah kelab yang terbaik di negara ini atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail turut membidas laman web bola sepak yang menulis laporan negatif mengenai JDT dengan menegaskan bahawa tindakan sedemikian tidak sesekali membuat pasukan itu berhenti daripada berkembang.

“Semasa anda sibuk menulis dan menghantar komen menghina di internet, kami sedang menikmati kehidupan.

“Sementara anda berdoa agar JDT tewas dalam liga tahun ini, kami sudahpun berada dalam pertandingan AFC tahun kerana JDT telah memenangi Piala FA. Sekiranya anda menyatakan bahawa JDT memenangi Piala AFC secara ‘menang nasib’. AFC sebaliknya iaitu mengiktiraf kejayaan JDT.

“Kami diberkati dengan rezeki yang ALLAH kurniakan dan berada pada kedudukan untuk melihat serta merasai sesuatu yang anda tidak akan dapat lihat atau rasa,” katanya.

Sebelum ini, Perak berjaya menumpaskan JDT 3-0 dalam kempen Kumpulan C, Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Ipoh.