Taktik Bertahan Perak Bukan Alasan Gagal Menang – Gomez

mario gomez jdtPengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez, tidak mahu menyalahkan taktik bertahan Perak sebagai punca kegagalan mereka meraih tiga mata dalam saingan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Larkin, Selasa lalu.

Sebaliknya, bagi jurulatih itu, pasukannya tidak bernasib baik dalam menyudahkan peluang-peluang yang terhidang.

JDT jelas menguasai permainan sepenuhnya, terutama dalam separuh masa kedua, namun kekentalan pertahanan Perak membuat tuan rumah kesudahannya menggigit jari.

Biarpun memiliki beberapa percubaan terbaik untuk memenangi perlawanan, Gomez mengakui sedikit kecewa melihat pemain-pemainnya gagal mencari sentuhan penyudah.

“Ketika pihak lawan meletakkan 10 pemain di bahagian pertahanan, ia bukan satu masalah kerana itulah bola sepak.

“Kami boleh mencuba pelbagai corak serangan dari belah kiri, kanan dan tengah.

“Kadang-kadang kami berjaya menembusi gawang dan kadang-kadang tidak, dan hari ini kami tidak melakukannya,” ujarnya.

Perak yang tempang tanpa dua tonggak import, Xhevahir Sukaj dan Elias Fernandes, boleh berbangga dengan kejayaan meraih satu mata berdepan JDT di Larkin.

Malah, pengendalinya, Karl Heinz Weigang, menegaskan Perak kini mampu memberi saingan kepada semua pasukan dalam Liga Malaysia.

“Kami telah buktikan kami mampu menyaingi mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

“Sekalipun tanpa khidmat dua pemain import, kami tidak berasakan ketiadaan mereka kerana pemain tempatan membuktikan mereka juga sama hebat.

“Sebab itulah, saya tidak peduli sama ada kamu pemain import atau tempatan, kamu perlu buktikan kamu layak untuk beraksi bersama skuad utama,” tegas Weigang.

Safiq Rahim muncul penyelamat maruah JDT selepas menjaringkan gol penyamaan melalui sepakan penalti pada minit ke-15 untuk keputusan seri 1-1 selepas Perak mendahului seawal minit ketiga menerusi sepakan percuma Oybek Kilichev dari jarak 30 meter.

Stadiumastro