Taiwan Minta Uber Bayar Cukai Bernilai Lebih RM25 Juta

uberSYARIKAT Uber di Taiwan nampaknya tergugat apabila perkhidmatan perkongsian kenderaan itu dilaporkan tidak membayar cukai jualan berjumlah $6.4 juta (RM25.81 juta).

Memetik laporan Reuters, Suruhanjaya Pelaburan Taiwan juga bercadang agar Uber dikeluarkan dari pasaran Taiwan kerana ia mempromosikan perniagaannya sebagai sebuah perniagaan berasaskan internet dan bukannya perkhidmatan pengangkutan.

Uber yang mula beroperasi di Taiwan sejak tahun 2013 dilaporkan tidak pernah membayar cukai jualan sebelum ini.

Namun, pihak kerajaan kini sedang mengkaji semula keputusannya agar cukai  dikenakan kepada perniagaan atau perkhidmatan global berasaskan atas talian.


Sementara itu, Uber menafikan ia menanggung beban hutang cukai jualan di negara itu.

“Uber memenuhi semua kewajiban cukai di bawah undang-undang tempatan,” kata syarikat itu menerusi emel kepada Reuters.

Memetik laporan Mashable, sebanyak 3,000 kereta peribadi digunakan sebagai perkhidmatan Uber.

Kesatuan teksi di negara itu turut memberi tekanan kepada kerajaan Taiwan agar perkhidmatan Uber di negara itu segera dihentikan.