Rio 2016: Pengakhiran Buat Dua Legenda Badminton

Perseteruan dua bintang, Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan, mewarnai badminton dunia sejak lebih sedekad lalu.

Namun, Sukan Olimpik Rio mungkin menjadi penamat kepada pertentangan itu. Persoalannya, mampukah kancah badminton dunia terus berseri tanpa kedua-duanya?

Hakikat yang perlu diterima ialah era Chong Wei dan Lin Dan semakin hampir ke penghujungnya dan aksi separuh akhir di Riocentro adalah pertembungan terakhir mereka dalam kancah Sukan Olimpik.

Ia menjadi penamat kepada tiga pertembungan dalam temasya sukan terulung itu, dengan Lin Dan memenangi dua pertemuan di Beijing dan London sebelum Chong Wei melakar kejayaan di Rio de Janeiro.

Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Poul Erik Hoyer Larsen, mengakui betapa kelibat kedua-duanya akan dirindui apabila Chong Wei dan Lin Dan menggantung raket mereka.


“Sememangnya kami akan merindui kelibat Chong Wei dan Lin Dan, mereka merupakan legenda sukan badminton, namun Chen Long akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan dua pemain ini,” kata Hoyer Larsen.

Chong Wei turut mengakui, dia akan merindui pertarungan dengan Lin Dan yang turut menjadi inspirasi untuknya mahu menjadi pemain lebih berbisa.

“Saya sangat berbangga untuk beraksi di Olimpik selama empat kali dan menempah slot perlawanan akhir adalah sesuatu yang sangat sukar.

“Ditimpa isu penggantungan, saya dapat kembali berada di tahap yang terbaik. Ini merupakan satu kenangan yang indah buat saya,” jelas Chong Wei.

Stadiumastro