Piala FAM: Airasia, Sg Ara Layak Ke Suku Akhir, MISC-MIFA, PKNP Juara Kumpulan

MISC-MIFA dan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) berjaya mencatat kemenangan selesa pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala FAM 2016 petang semalam untuk masing-masing muncul juara Kumpulan A dan B.

Bagi Kumpulan A, AirAsia Allstars FC (AAFC) dan Sungai Ara FC pula masing-masing menjadi pasukan ketujuh dan kelapan untuk layak ke suku akhir setelah meraih kemenangan berharga pada aksi terakhir.

Pasukan tangga ketiga, AAFC di bawah bimbingan P Maniam menewaskan pasukan tangga kelima, Shahzan Muda FC 2-0 di Stadium Shah Alam tatkala pasukan tangga keempat, Sungai Ara FC yang diterajui Azhar Abdul Rahman menumpaskan pasukan tangga tercorot, DYS FC 3-1 di Stadium UMS, Sabah.

Di persada liga, skuad MISC-MIFA kendalian Jacob Joseph berjaya memadam kekecewaan muncul naib juara Kumpulan B tahun lepas dengan meraih kemenangan menentang pasukan tangga kelapan, Persatuan Bolasepak Ipoh 2-0 di Stadium Mini USIM, Nilai.

Kemenangan itu menyaksikan Felcra FC bimbingan Yusri Che Lah terpaksa akur untuk menamatkan kempen saingan Kumpulan A selaku naib juara sekalipun menumpaskan pasukan tangga ketujuh, Megah Murni FC 3-0 di Stadium Arena UM, Kuala Lumpur.

Selepas 18 perlawanan, MISC-MIFA di tangga teratas Kumpulan A dengan 36 mata, diikuti Felcra FC 33 mata, AAFC 30 mata dan Sungai Ara FC 29 mata.


Bagi saingan Kumpulan B, PKNP FC di bawah kendalian Abu Bakar Fadzim muncul juara setelah membelasah pasukan tangga keenam, Hanelang FC 4-0 di Stadium Perak, Ipoh.

Kelab Bolasepak Kementerian Kewangan (MOF FC) bimbingan Zahasmi Ismail pula muncul naib juara setelah terikat seri 0-0 dengan pasukan tangga kelima, UKM FC di Stadium Mini UKM, Bangi.

Kelab Bolasepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB FC) kendalian Remeli Junit terpaksa akur di tangga ketiga walaupun berjaya menewaskan pasukan tangga keempat, Kelab Bolasepak Kadazan Murut Malaysia (KDMM FC) bimbingan Andrew Weddy Majanggim 3-1 di Stadium Keningau, Sabah.

Pasukan tangga tercorot, Kelab Bolasepak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB FC) meraih kemenangan 3-0 ke atas pasukan tangga ketujuh, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu.

Selepas 16 perlawanan, PKNP FC di tangga teratas Kumpulan B dengan 30 mata, diikuti MOF FC di tangga kedua dengan kelebihan perbezaan gol biarpun mengumpul 27 mata sama dengan pasukan tangga ketiga, SAMB FC diikuti KDMM FC 19 mata.

Saingan kalah mati akan diteruskan dengan aksi suku akhir timbal balik dijadual akan berlangsung pada 7 dan 18 September ini.

Juara Kumpulan A, MISC-MIFA akan berdepan pasukan tangga keempat Kumpulan B, KDMM FC tatkala naib juara Kumpulan A, Felcra FC bakal bertemu pasukan tangga ketiga Kumpulan B, SAMB FC.

Selaku juara Kumpulan B, PKNP FC bakal menghadapi pasukan tangga keempat Kumpulan A, Sungai Ara FC manakala naib juara Kumpulan B, MOF FC akan berdepan pasukan tangga ketiga Kumpulan A, AirAsia Allstars FC.

FAM