Perubahan Sikap Penyokong Kelantan Wajar Dicontohi

kelantan gomoJika dulu penyokong Kelantan sering dikaitkan dengan gejala ‘samseng bola sepak’ tetapi kini penyokong-penyokong The Red Warriors itu dilihat sangat tertib dan tidak lagi ‘memeningkan kepala’ Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Mungkin ekoran hukuman denda yang sering kali dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap KAFA telah memberi satu pengajaran berguna dan mengubah sikap penyokong Kelantan agar tidak lagi mencetus pergaduhan dan kekecohan.

Biarpun saban tahun dikecam, banyak usaha ke arah perubahan dilakukan kelab-kelab penyokong dengan kerjasama pengurusan KAFA. Gambaran kemeriahan se­perti mempelbagaikan gaya sokongan dengan penyatuan sorakan, kibaran bendera, memeriahkan suasana lebih awal di luar stadium, penglibatan kaum hawa yang lebih beradab juga menampakkan keceriaan dalam kalangan penyokong Kelantan.

Sikap solat berjemaah beramai-ramai di stadium, menghormati penyokong lawan dengan mengajak bergambar dan duduk bersama menonton, menceriakan Liga Malaysia di Kota BHaru dalam beberapa tahun kebelakangan.

Budaya inilah yang perlu dikekalkan dan sepatutnya menjadi contoh kepada penyokong-penyokong pasukan negeri lain terutamanya dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak yang lagi bergaduh ming­gu lalu.


Bukan Mat nak kata semua penyokong Perak dan JDT tidak bagus dan tidak tertib tetapi disebabkan segelintir penyokong yang melakukan kekecohan ini maka semua terpalit. Bak kata pepatah: kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Ini merujuk kepada pergaduhan yang berlaku Sabtu lepas yang melibatkan penyokong JDT dengan Perak dalam perlawanan Liga Super yang hangat diperkatakan.

Malah persengketaan itu bukan baharu sahaja tercetus tetapi telah memasuki tahun ketiga, bermula 2013 dan belum lagi me­nunjukkan tanda-tanda dendam sesama penyokong mulai reda.

Hari ini Kelab Penyokong Perak telah membuat keputusan untuk tidak ke Larkin menyaksikan pasu­kan kesayangan mereka bermain. Malang sekali keputusan seperti ini perlu diambil tetapi Mat tidak menyalahkan mereka. Mat faham kerana ini demi keselamatan dan untuk meredakan suasana yang sedang hangat.

Tetapi sampai bila masalah seperti ini akan berlaku. Me­ngapa bola sepak perlu tunduk kepada samseng.

Oleh itu, FAM dan persatuan bola sepak kedua-dua ne­geri perlu mengambil tindakan drastik untuk membendung kejadian ini daripada terus berulang seperti mengenal pasti siapa dalang, haram­kan penyokong yang telah ditangkap daripada memasuki stadium selain mendenda persatuan.

Jangan sampai berlaku perlawanan berlangsung tanpa penonton kerana penyokong takut nak ke stadium.

Utusan