Penggal Kepala Nenek: Rasukan Kuda Kepang Ubah Sikap Cucu

KULAI – Rasukan daripada semangat pendamping kuda kepang dipercayai antara punca seorang remaja lelaki yang mengalami gangguan mental tergamak memenggal leher neneknya di Felda Penggeli Timur di sini kelmarin.

Datuk mangsa, Bogiman Kario, 71, menceritakan, cucunya yang berusia 19 tahun itu didapati mengalami perubahan tingkah laku selepas dia menonton persembahan tarian kuda kepang yang diadakan di Felda Ulu Belitong dekat sini kira-kira setahun lalu.

“Selepas pulang dari menonton persembahan tersebut, saya lihat kelakuan cucu saya jadi pelik apabila dia sering tersenyum seorang diri selain sanggup mencederakan diri sendiri.

“Setelah membuat pemeriksaan di Hospital Tampoi di sini, doktor mengesahkan bahawa dia (suspek) mengalami masalah mental,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah mangsa di sini semalam.

Dalam kejadian semalam, seorang warga emas maut dipenggal cucunya yang dipercayai mengalami gangguan mental dalam kejadian di Felda Penggeli Timur di sini, petang tadi.


Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, Maimon Abdul Samad, 76, bukan sahaja dipenggal malah tangan dan kedua-dua kakinya dikerat suspek lelaki yang berusia 19 tahun itu.

Kepala mangsa yang dipenggal itu diletakkan di hadapan pintu masuk rumah, manakala tubuh mangsa dijumpai di bawah singki.

“Kedua-dua kaki mangsa dikerat di bahagian paha tetapi tidak putus, manakala kedua-dua tangan dipotong dan hanya tangan kiri yang kelihatan di sisi mangsa.

Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan sebilah pisau berukuran antara empat hingga tujuh inci panjang, yang ditemui di dalam pasu bunga di luar rumah mangsa.

Selepas kejadian, suspek cuba melarikan diri memasuki kawasan ladang sawit berhampiran, bagaimanapun berjaya ditangkap polis dengan bantuan penduduk kampung pada 8.30 malam tadi.