MSNT Sahkan Tidak Terima Permohonan Azizulhasni, Bapa Mahu Selesai Cara Baik

Olimpik: Azizulhasni Raih Pingat GangsaKUALA TERENGGANU – Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengesahkan tidak menerima sebarang surat permohonan daripada jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang bagi mendapatkan bantuan sebuah basikal ‘road bike’ sebagai persediaannya untuk menghadapi Sukan Olimpik di Rio, Brazil.

Pengarahnya, Ibni Amin Busu berkata, sehingga kini pihaknya bukan sahaja tidak menerima surat permohonan daripada Azizulhasni bahkan langsung tidak mengetahui mengenai permohonan tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, MSNT akan menyiasat secara terperinci mengenai perkara itu termasuklah ia dibuat melalui apa dan kepada siapa.

“Apa yang boleh saya sahkan di sini, kita (MSNT) tidak pernah menerima apa-apa surat permohonan secara hitam putih daripada mana-mana pihak termasuk Azizulhasni sendiri.

“Kita sedang menyiasat sama ada permohonan bantuan basikal ini dihantar menerusi emel atau surat,” katanya.

BACA: Jangan Rosakkan Kegembiraan Anda, Khairy Nasihatkan Azizulhasni

Semalam, atlet kelahiran Dungun itu meluahkan perasaan kecewanya menerusi laman Facebook ‘Jojo Knoxville’ dengan mendakwa Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman tidak membantunya dan seorang lagi pelumba basikal kelahiran Terengganu, Fatehah Mustafa bagi mendapatkan basikal ‘road bike’ untuk persediaan mereka ke Olimpik walaupun sudah menghantar permohonan tersebut setahun yang lalu.

Sementara itu, Bapa pelumba berbasikal elit negara Azizulhasni, Awang Muda Embong, menasihatkan anaknya supaya menyelesaikan isu bantuan kerajaan negeri Terengganu terhadapnya secara baik.

“Selesai molek-molek (dengan baik), jumpalah sendiri Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman,” nasihat beliau kepada anaknya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengenai luahan Azizulhasni di laman sosial Facebook.

Awang Muda, 67, berkata beliau masih lagi terkejut dengan tindakan anaknya itu setelah dimaklumkan pihak lain.


“Perkara ini tak patut berlaku…macam (seolah-olah) MB tak ambil tahu pulak hal Azizul.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan cara baik, elok kalau kedua-dua pihak berjumpa dan bersemuka,selesai molek-molek,” katanya.

Ketika ditanya adakah selama ini kerajaan negeri ada memberi sebarang bantuan kepada anaknya, Awang Muda berkata: “Saya tak tahu sangat pasal bantuan sebab dia duduk jauh, Australia. Jumpa pun jarang-jarang…berhubung pun melalui telefon.”

Ketika ditemui pemberita malam tadi, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ibni Amin Busu berkata beliau juga tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Azizulhasni namun akan tetap menjalankan siasatan lanjut.

Katanya bagi menghargai kesungguhan Azizulhasni mewakili negara di temasya Olimpik Rio, kerajaan negeri sebelum ini pernah menyampaikan insentif sebanyak RM5,000 kepada wakilnya (ibu beliau).