Mohd Azraai Khor, Ramon Marcote Sedia Pertimbang Tawaran Selangor

azraai1PETALING JAYA: Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah bersedia mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Zainal Abidin Hassan sekiranya Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun bekas pengendali Kedah, Kelantan dan Sabah itu mengakui masih belum menerima sebarang tawaran daripada pasukan Red Giants tersebut buat masa ini.

“Sudah tentu saya akan pertimbangkan, mengapa tidak, kita boleh berbincang. Lagipun saya sudah berehat terlalu lama hampir lapan bulan.

“Kadang-kala bila tengok perlawanan di televisyen, saya beritahu orang rumah saya macam nak masuk padang semula. Rasa rindu itu datang secara tiba-tiba,” katanya dalam nada berseloroh ketika dihubungi.

Begitupun, Mohd Azraai Khor menjelaskan sebelum menerima sesuatu tawaran beliau mahu duduk semeja dengan pihak pengurusan terlebih dahulu untuk berbincang mengenai terma dan syarat kontrak.

“Saya lebih suka perkara berkaitan terma dan syarat kontrak diselesaikan dahulu sebelum terima mana-mana tawaran.

“Itu lebih elok selain tengok matlamat pengurusan. Saya banyak belajar daripada kesilapan lalu. Ia perlu diteliti untuk elak ‘mimpi ngeri’ berulang lagi,” katanya.

Sementara itu Bekas penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote sedia mempertimbangkan tawaran Persatuan Bola sepak Selangor (FAS) bagi menggantikan Zainal Abidin Hassan sebagai jurulatih pasukan tersebut.

Namun bekas jurulatih Atletico Madrid itu mengakui belum menerima sebarang tawaran daripada FAS walaupun terdapat khabar angin bahawa beliau antara individu yang bakal membimbing Selangor.

“Saya ada terdengar nama disebut sebagai calon ketua jurulatih Selangor melalui rakan-rakan di Malaysia.


“Tetapi satakat ini ia hanya khabar angin, belum ada tawaran rasmi atau perbincangan,” jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Marcote, 39, yang mempunyai lesen kejurulatihan Pro A UEFA menyertai pasukan Kedah pada April 2015 sebagai jurulatih kecergasan bagi menggantikan Ian Gillian yang dilantik sebagai pengarah teknikal.

Ketika menjadi penolong kepada Tan Cheng Hoe, Marcote berjaya mengadaptasi corak permainan hantaran pendek (tiki-taka) yang menjadi kebanggaan skuad hijau kuning.

Malah ketika Cheng Hoe terpaksa menjalani kursus Kejurulatihan Pro di China, Marcote berjaya membawa Kedah ke final Piala Malaysia untuk menentang Selangor.

Bagaimanapun, Marcote bertindak meninggalkan Kedah selepas perlawanan akhir itu kerana ingin menyambung pengajian di peringkat PhD sains sukan di Sepanyol.

Ketika ditanya mengenai perkembangan semasa, jurulatih yang mempunyai hubungan baik dengan Jurulatih Manchester City, Pep Guardiloa itu berkata, beliau kini bertugas sebagai penasihat metadologi latihan Akademi Atletico Madrid.

“Pada masa sama saya juga menerima tawaran sebagai jurulatih dari kelab dan akademi dari seluruh dunia.

“Tetapi dari Malaysia belum ada lagi. Jika ada saya akan menilai sebaik mungkin untuk diri dan keluarga.

“Bagi saya, jika benar seperti yang dilaporkan media, ianya satu penghargaan besar buat saya kerana Selangor merupakan antara kelab penting di Malaysia,” jelasnya.

Marcote pada masa sama sempat mengucapkan terima kasih kepada bekas pasukannya dan penyokong kedah kerana menerima corak permainan yang dibawanya.