Layak Ke Suku Akhir Piala Malaysia, Baddrol Wira Lang Merah Di Pasir Gudang

Kedah memastikan harapan terakhir untuk meraih trofi musim ini terus hidup apabila menamatkan aksi saingan Piala Malaysia di Pasir Gudang dengan kemenangan.

Kedah turun ke selatan tanahair, dengan gandingan Shane Smeltz dan Liridon Krasniqi menjadi taruhan utama dalam percaturan pengendali, Tan Cheng Hoe berdepan Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Sentuhan Cheng Hoe itu ternyata tidak memerlukan masa yang lama untuk diterjemah dengan Smeltz menjelmakan jaringan yang diperlukan, hasil tandukan seawal minit ke-13.

Tersentak, JDT II berusaha mencari gol penyamaan yang akhirnya ditemui pada minit ke-36 menerusi Paolo Rangel.

Namun belum sempat tuan rumah kembali mengatur gerak, Kedah sekali lagi merobek gawang JDT II dengan Shazwan Zainon bijak menyudahkan hantaran Baddrol Bakhtiar seminit berselang.

Bagaimanapun anak buah Benjamin Mora enggan kubu mereka terus ditawan, apabila memastikan kedudukan terikat 2-2 tamat di babak pertama.

Bersambung selepas rehat, Kedah nampaknya pantang dicabar sebelum Baddrol Bakhtiar kembali meletakkan Lang Merah di depan, 3-2.

Tiada tambahan jaringan terhasil menyaksikan Kedah membawa pulang tiga mata berharga.

Keputusan lain:

T-Team 3 Sarawak 0

Negeri Sembilan 1 Terengganu 0

Kuala Lumpur 0 Kelantan 1

Felda United 2 Melaka United 1

Selangor 3 Pahang 0

Stadiumastro