Lagu Provokasi Penyokong JDT Punca Insiden – Pafa

rusuhanPersatuan Bola Sepak Perak (PAFA) memandang serius dan berasa kecewa dengan insiden kekecohan yang dilakukan sekumpulan penyokong selepas tamat aksi Liga Super di antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, kelmarin.

Setiausaha Kehormat PAFA, Jamal Mohd Aris, dalam satu kenyataannya, berkata suasana tegang bermula selepas perlawanan tersebut ditamatkan apabila penyokong JDT terus menyanyikan lagu berbentuk provokasi ke atas penyokong Perak, termasuk terus memainkan gendang walaupun telah diarahkan berhenti oleh PDRM dan petugas keselamatan stadium.

“Sekumpulan penyokong pasukan JDT juga telah menaikkan kain rentang yang mempamerkan tulisan berbentuk provokasi selepas perlawanan tamat. Tindakan tersebut adalah bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan oleh FAM dan FMLLP.

“Sekumpulan penyokong JDT  telah merempuh hadangan PDRM, petugas keselamatan stadium dan Rela untuk masuk ke dalam kawasan penyokong pasukan Perak. Tindakan tersebut telah memulakan kekecohan dan pergaduhan tetapi masih dapat dikawal oleh anggota keselamatan.

“Selepas itu, penyokong JDT cuba merempuh pintu pagar keselamatan stadium untuk masuk ke dalam padang. Atas pertimbangan keselamatan, PDRM mengarahkan agar pintu pagar keselamatan stadium tersebut dibuka bagi mengelakkan rusuhan dan pergaduhan di antara penyokong kedua-dua pasukan.

“Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila enyokong yang berada dalam padang telah secara berterusan mencabar dan melakukan provokasi terhadap penyokong yang berada di tempat duduk stadium untuk bergaduh.

“Peralatan pertandingan dalam padang stadium seperti jaring gol telah dibakar, bendera telah dicuri, padang telah dirosakkan dan papan pengiklanan telah dirosakkan.

“Lebih mengecewakan apabila seorang Jurugambar NSTP yang bertugas telah diugut, dikasari dan dicederakan, termasuk kamera beliau telah dirampas, yang hanya dijumpai semula di tengah padang stadium,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Jamal turut menjelaskan presiden PAFA telah mengambil inisiatif untuk mententeramkan keadaan dengan memberikan arahan kepada penyokong Perak untuk meninggalkan stadium secara aman menggunakan pembesar suara walaupun tindakan tersebut mendapat reaksi negatif daripada penyokong JDT.

“Setelah penyokong Perak secara beransur-ansur beredar, PDRM dan FRU turut memastikan keadaan keselamatan di luar stadium turut terkawal. Para pegawai dan pemain bagi kedua-dua pasukan serta pegawai pertandingan telah tidak diganggu dan telah keluar dari stadium pada jam 12.30 tengah malam tanpa sebarang masalah.


“Selepas itu, penyokong JDT telah dibenarkan keluar stadium untuk menaiki bas. Semua bas penyokong JDT berjumlah 21 buah telah diiringi oleh PDRM sehingga sempadan negeri bagi memastikan tiada insiden tidak dingini berlaku.

“Secara keseluruhannya, PAFA dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan telah berusaha untuk menyediakan kawalan keselamatan terbaik dan PAFA percaya insiden kekecohan ini tidak mungkin akan berlaku sekiranya penyokong JDT mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh PDRM dan petugas keselamatan stadium.

“PAFA telah mengumpulkan semua bukti bergambar dan video, termasuk kenyataan saksi-saksi yang berkaitan dengan insiden tersebut dan akan digunakan untuk membantu siasatan oleh pihak berkuasa dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“PAFA berharap penyokong-penyokong yang sengaja mencetuskan kekecohan dalam perlawanan tersebut dapat dikenal pasti dan tindakan dapat diambil terhadap mereka,” menurut kenyataan itu.

PAFA turut mendapati terdapat tuduhan tidak berasas dan kata-kata provokasi, kecaman dan penghinaan terhadap PAFA, anggota keselamatan yang bertugas dan penyokong di dalam media sosial.

Pihaknya mempertimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan-dakwaan palsu, yang boleh menjejaskan keharmonian di antara penyokong kedua-dua pasukan.

“PAFA dengan tegas menyatakan bahawa dakwaan-dakwaan dan komen-komen tersebut yang dibuat oleh orang yang tidak bertanggungjawab adalah tidak berasas dan adalah suatu fitnah provokasi yang boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dan dendam berpanjangan terhadap penyokong kedua-dua pasukan, termasuk boleh menjejaskan hubungan baik dan semangat setiakawan di antara PAFA dan PBNJ.

“Berkaitan kecaman terhadap pengadil perlawanan, PAFA menyerahkan kepada kebijaksanaan FAM dan FMLLP untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

“PAFA menegaskan tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang perbuatan yang mencemarkan semangat kesukanan yang sepatutnya wujud melalui sukan bola sepak.”