Kontrak Lim Teong Kim Bakal Dilanjutkan

NFDP 111hahahaahKEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kini berada dalam proses terakhir untuk memperbaharui kontrak Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau yakin kontrak Teong Kim selama tiga tahun yang akan ber­akhir hujung Oktober depan akan dapat diperbaharui.

“Kini kita sedang perhalusi kontrak­nya, ini adalah perkara biasa selepas kontrak itu tamat, mesti ada rundingan semula berdasarkan kepada prestasi, sasaran dan sebagainya.


“Teong Kim telah menyatakan kesediaannya untuk terus bersama dengan NFDP, malah beliau telah maklumkan mahu bersama NFDP selama lima tahun lagi,” kata Khairy kepada pemberita di pejabatnya di Putra­jaya semalam.

Khairy berkata, secara kese­luruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Teong Kim dan lebih adil jika beliau diberikan peluang untuk membawa pasukan NFDP sehingga sekurang-kurangnya layak ke Piala Dunia Bawah 19 tahun pada 2019 nanti.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau telah melantik beberapa tenaga pengajar dari Eropah untuk membantu Teong Kim mengendalikan jurulatih dari seluruh negara.

“Beliau akan dibantu oleh pakar-pakar lain dari luar negara. Kita akan umumkan beberapa lantikan baharu sebab kalau hanya harapkan beliau sahaja untuk bantu jurulatih di seluruh Malaysia, ia agak sukar buat beliau,” katanya.