Kecoh Ular Panjat Rumah Flat

SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri terkejut besar apabila mendapati seekor ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter menjalar pada tingkap rumahnya dalam kejadian di tingkat tiga Flat Taman Sri Pauh, Permatang Pauh di sini semalam.

Ular berbisa seberat 15 kilogram tersebut dilihat cuba keluar dari tingkap dan cuba masuk menerusi tingkap sebuah rumah lain di tingkat dua dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu.


Penghuni rumah yang mahu dikenali sebagai Ramlah, 40-an berkata, dia terus memanggil suaminya untuk menghalau ular tersebut selepas terkejut melihatnya masuk melalui tingkap tingkat empat.

“Nasib baik ia tidak agresif dan terus keluar melalui tingkap sama,” ceritanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, ular tersebut dipercayai dibawa masuk ke salah sebuah rumah oleh seseorang sebelum terlepas.

“Kami hairan bagaimana ular itu boleh menjalar di dinding sehingga ke tingkat tiga dan turun semula jika tidak dibawa oleh seseorang,” katanya.