Kami Tetap Akan Berjuang Demi Pahang – Helmi Eliza

Penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias, mengakui tertekan dengan beberapa siri kekalahan yang melanda pasukan itu, tetapi positif mereka bakal beraksi dengan baik ketika berdepan Kuala Lumpur, dalam saingan Piala Malaysia malam ini.

Kekalahan demi Kekalahan yang dialami skuad Tok Gajah, termasuklah berada di tangga tercorot Liga Super, nyata memberi tekanan kepada Helmi dan juga rakan sepasukannya.

Bekas penjaga gol Kedah ini, tidak mahu perjuangan mereka terhenti begitu sahaja, meskipun sedar mereka mempunyai peluang tipis untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Apa yang penting, dia mahu meraih kembali semangat pasukan yang semakin hilang, dengan memastikan Kuala Lumpur, tunduk kepada mereka malam ini.


“Kami memang merasai tekanan, dengan kedudukan pasukan yang kini berada di tangga tercorot Liga Super.

“Saya tetap merasakan semangat perjuangan kami masih ada lagi untuk pasukan Pahang.”

Helmi yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, mahu membina kembali kariernya bersama skuad Pahang sebaik mungkin, selepas sekian lama aksinya tidak ditagih oleh pasukan itu.

“Saya bersyukur kerana pihak pengurusan pasukan pahang, dan jurulatih memberi kepercayaan kepada saya, serta memilih saya untuk beraksi bersama pasukan Pahang.

“Ini ibarat karier saya kini mati hidup kembali. Saya akan mencuba untuk melakukan yang terbaik demi pasukan Pahang.”

Selain pertemuan Pahang dan Kuala Lumpur, turut berlangsung tiga lagi pertemuan pada malam ini iaitu Kelantan bertemu Selangor, Terengganu menentang Felda United, dan Melaka melayani kunjungan Negeri Sembilan.

Stadiumastro