JDT Berlatih Di Padang Sintetik MSN Sebelum Bertemu Felda

Skuad Harimau Selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpusat seketika di ibu negara selepas aksi Piala Malaysia bertemu PKNS FC sabtu lalu, dan kini giat berlatih di padang rumput sintetik di Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membuat persiapan sebelum bertemu Felda United dalam aksi Liga Super, pada Rabu.

Pengendali pasukan JDT, Mario Gomez mengakui anak buahnya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan padang seperti ini, memandangkan The Fighters sangat kebal beraksi di laman sendiri.

“Kami selalu berlatih di padang semula jadi, berdepan Felda di Jengka, kami perlu membiasakan diri bermain di atas padang sintetik,” kata Mario.


“JDT tidak berdepan sebarang masalah untuk berdepan Felda, cuma perlu membuat sedikit pertukaran untuk perlawanan ini.”

Skuad Felda hanya tewas sekali sahaja sejak aksi sulung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, tahun ini, dan kini JDT berhasrat mencipta kejutan selepas Terengganu menang dalam aksi Piala Malaysia.

“Kami mahu menang ketika berdepan Felda, ini merupakan perlawanan yang penting, dengan kemenangan ini, kami akan menjarakkan kedudukan untuk berada di selesa di takhta liga.”