Januzaj Rasa Dirinya Dihina Mourinho, Dua Pemain Muda ke Sunderland

ADNAN Januzaj berasa dirinya dihina selepas digugurkan daripada skuad musim ini oleh Jose Mourinho.

Berikutan itu, Januzaj kini sedang melengkapkan pemindahan ke Sunderland menerusi pinjaman selama semusim.

Pemain kebangsaan Belgium itu terpaksa meninggalkan United pada musim ini selepas dia diarahkan untuk berlatih bersama skuad bawah 21 tahun United.

Pemain sayap itu tidak menjadi pilihan Mourinho apabila dia dikatakan gagal mempamerkan aksi yang dikehendaki oleh Mourihno.

Januzaj mendakwa dia turut kecewa apabila hanya dibenarkan menyertai Sunderland menerusi pinjaman dan bukan pemindahan tetap.

Daily Mirror melaporkan, Januzaj sebelum ini ingin berhijrah ke Serie A atau La Liga namun disekat oleh United kerana masih mempunyai baki kontrak.


Sementara itu dua pemain muda Manchester United dilapor sedang melangkapkan perpindahan ke Sunderland dengan nilai £6 juta.

Sunderland juga dikatakan telah bersetuju dengan yuran perpindahan tersebut dan akan menawarkan kontrak selama empat tahun kepada Paddy McNair dan Donald Love.

Berikutan itu The Black Cats percaya kehadiran dua pemain pertahanan berkenaan mampu membantu kelab tersebut merealisasikan hasrat mereka.

McNair yang merupakan pemain kelahiran Ireland Utara pernah beraksi untuk United sebanyak 16 kali bagi Liga Perdana Inggeris musim 2014-15 dan lapan kali pada musim lalu.

Manakala Love, 21, juga pernah membuat penampilan di liga utama ketika dipinjamkan ke Wigan pada musim lalu.