Jangan Rosakkan Kegembiraan Anda, Khairy Nasihatkan Azizulhasni

azizulawangRIO de JANEIRO: Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio, Azizulhasni Awang dinasihat mendapatkan penjelasan daripada pejabat Menteri Besar Terengganu selepas mendakwa permohonan bantuan yang dimintanya tidak dilayan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Azizulhasni tidak harus‎ membiarkan rungutannya ke atas Menteri Besar Ahmad Rafiz Abdul Rahman, merosakkan kegembiraannya selepas meraih gangsa dalam acara keirin semalam.

Mengulas luahan jaguh trek negara dalam laman Facebooknya sejurus mendapat pingat pertama untuk Malaysia dalam acara berbasikal Sukan Olimpik, Khairy percaya ia hanya salah faham dan mudah diselesaikan.


“Azizulhasni tidak harus membenarkan perkara itu membayangi pencapaiannya di Rio,” katanya selepas menyaksikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke separuh akhir selepas menang 21-9, 21-15 ke atas Chou Tien Chen dari Taiwan di suku akhir.

Dalam laman Facebooknya, Azizulhasni, 28, mendakwa Ahmad Razif tidak memberikan sebarang reaksi kepada permintaan mendapatkan basikal RoadBike untuk dirinya dan Fatehah Mustapa, kedua-duanya pelumba kelahiran Terengganu, sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi Azizulhasni mendapat sokongan penuh daripada kementerian saya dan Yayasan Sime Darby mungkin dia mahu bantuan tambahan dan memohonnya di Terengganu,” kata Khairy.

Sementara itu, chef-de-mission negara, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid turut berkongsi pandangan dengan Khairy dan berkata perkara tersebut boleh diselesaikan dengan mudah.

Selain bantuan dari MSN, Azizul Hasni Awang memperolehi sponsorship dari YSD sebanyak RM 2.85 juta untuk persiapan kempen “Road To Rio 2016”.

“Atlet itu hanya perlu menulis kepada menteri besar kerana permohonan tersebut mungkin tidak sampai ke pengetahuannya.

“Saya akan bercakap dengan Azizulhasni sebelum beliau berlepas pulang ke tanah air malam ini,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman pula terkejut dengan dakwaan Azizulhasni itu dan meminta siasatan segera dilakukan.

“Saya tidak tahu mengenai permohonan Azizulhasni Awang mendapatkan tajaan basikal ‘Roadbike’ sebagai persediaan ke Olimpik,” tegas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman.

Sambil meluahkan rasa terkilan, Ahmad Razif menyatakan beliau telah mengarahkan Majlis Sukan Negeri membuat siasatan lanjut berhubung perkara tersebut dan akan menghubungi jaguh berbasikal trek negara itu bagi mendapatkan penjelasan.

Malah Ahmad Razif mengambil pendekatan positif dengan memohon maaf kepada Azizulhasni sekiranya luahan kekecewaannya di laman sosial Facebook itu benar-benar berlaku.

“Saya pun tidak tahu cerita ini…saya tidak dapat pengesahan lagi mengenai cerita ini. Saya minta Majlis Sukan Negeri di bawah Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Datuk Rozi Mamat Rozi untuk buat siasatan dan melihat semula perkara ini.

“Jadi saya tidak boleh komen apa-apa sehingga kita betul-betul mendapat pengesahan dan kita akan buat tindakan apa yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita.