Jadual ala Eropah tidak sesuai di Malaysia – FMLLP

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam menegaskan adalah mustahil untuk menamatkan satu musim Liga Malaysia (Liga M) dalam dua tahun yang berbeza.

Kevin berkata kaedah tersebut, yang dipraktikkan oleh liga di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), tidak sesuai kerana pada hujung tahun beberapa negeri terutamanya di Pantai Timur lumpuh akibat banjir. EPL kebiasaannya memulakan musim mereka pada Ogos dan tamat Mei tahun berikutnya.

“Kalau kita nak buat jadual perlawanan Liga M sama seperti EPL memang tidak boleh sebab setiap kali tiba musim tengkujuh iaitu pada November dan Disember, Pahang, Terengganu dan Kelantan akan mengalami bencana banjir.

“Jika kita menggunakan kaedah seperti itu, sudah pasti apabila tiba hujung tahun kita terpaksa menunda beberapa perlawanan sekiranya berlaku banjir. Mungkin keadaan menjadi lebih teruk.

“Di Eropah seperti EPL mereka buat seperti itu kerana kebiasaannya pada pertengahan tahun akan berlangsung kejohanan besar seperti Euro 2016 yang diadakan baru-baru ini,” katanya kepada pemberita, mengulas mengenai kepadatan jadual Liga M di sini hari ini.


Dalam pada itu, Kevin turut berpendapat mengurangkan jumlah perlawanan bukan penyelesaian terbaik kerana pemain akan kurang beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Kita tidak boleh mengurangkan perlawanan kerana pasukan lebih cenderung untuk menggunakan pemain yang sama dan situasi seperti inilah yang sedang berlaku sekarang.

“Buat masa sekarang, jika sesebuah pasukan itu menamatkan aksi liga kemudian layak ke final Piala FA dan Piala Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan perlawanan yang dihadapi sebanyak 40 perlawanan. Tetapi, majoriti pasukan menghadapi 32 hingga 30 perlawanan semusim.

“Selain itu, jika kita mengadakan Piala Malaysia berasingan dengan saingan liga adalah tidak adil untuk semua pasukan. Sebagai contoh, Pulau Pinang tidak layak ke Piala Malaysia dan mereka juga terkandas awal dalam aksi Piala FA. Itu menjadikan jumlah keseluruhan perlawanan mereka sebanyak 23 sahaja.

“Kalau buat Piala Malaysia selepas liga macam mana dengan pasukan yang tidak layak? Apabila pemain dalam pasukan tersebut tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif untuk tempoh yang lama akan timbul masalah lain pula. Jadi, liga tamat seminggu sebelum final Piala Malaysia,” katanya lagi.