Gomez Optimis JDT Pertahan Kejuaraan Liga Super

mario gomez jdtPengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez, menyifatkan pasukannya masih di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super meskipun terus diberi cabaran hebat dalam setiap perlawanan.

Terbaru, JDT diikat Pulau Pinang 1-1 di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Ia menyaksikan gol pendahuluan Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-11 dinafikan Fitri Omar, yang meledak gol penyamaan Pulau Pinang pada minit ke-60.

Gomez mengakui untuk meraih kemenangan bukan lagi tugasan mudah buat JDT, namun optimis anak buahnya mampu mengekalkan kedudukan teratas sehingga akhir musim ini.

“Kami mempunyai peluang untuk duduk di tangga teratas liga, jika mampu untuk terus menjarakkan kedudukan yang hanya berbeza dua mata. Jika kami kehilangan dua mata tersebut, kami akan jatuh.

“Agak sukar juga untuk saya membuat pengiliran pemain kerana kami membariskan pemain yang berbeza dalam Liga Super dan Piala Malaysia. Sasaran kami bukan hanya untuk merangkul Piala Malaysia tetapi juga untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super,” jelas Gomez

Dalam perlawanan itu, Gomez tidak meletakkan Safiq Rahim dalam kesebelasan utama, susulan perancang tengah itu dihimpit masalah kecederaan.

Sementara itu, jurulatih Pulau Pinang, Nenad Bacina, mengakui anak buahnya perlu berkerja lebih keras untuk keluar dari zon penyingkiran liga walaupun tidak lagi berdepan pasukan atasan liga.


Hanya Kelantan dilihat halangan utama mereka selepas ini setelah berjaya meraih keputusan positif bertemu Selangor, Kedah dan JDT.

“Malangnya beberapa perlawanan tanpa kalah, tidak banyak membantu kami untuk berada di kedudukan yang lebih baik dalam liga.

“Kini tinggal enam atau tujuh lagi perlawanan, kami akan bertemu dengan pasukan yang sama kuat dengan kami,” katanya.

Bagaimanapun, Bacina memuji komitmen tinggi pemainnya untuk mengikat JDT, dan beliau tidak menafikan pengalamannya bersama skuad Harimau Selatan sebelum inimembantu dalam mencapai keputusan itu.

“Sudah tentu saya mengenali siapa pemain utama dalam pasukan JDT. Sebab itu saya membuat perancangan taktikal untuk memastikan kami menutup ruang di belakang, bahagian tengah yang lebih menyengat dan sekali-sekala melakukan serangan balas.”