FMLLP Sahkan JDT II Berhak Beraksi Dalam Liga Super Jika Layak

JDT IIJohor Darul Ta’zim II (JDT II) akan beraksi dalam Liga Super 2017 sekiranya mengakhiri saingan dalam kalangan dua pasukan teratas Liga Perdana musim ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Status JDT II untuk beraksi dalam Liga Super sentiasa menjadi persoalan selepas Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards, pernah berkata pasukan berkenaan tidak akan beraksi dalam Liga Super.

Namun, selepas bangkit daripada prestasi hambar, skuad kendalian Benjamin Mora itu kini berada di tangga kedua biarpun sedang dicabar hebat oleh PKNS serta Kuala Lumpur.

Menurut Kevin, buat masa ini berdasarkan pengesahan awal, JDT II tetap akan beraksi dalam Liga Super sekiranya berada antara dua pasukan terbaik Liga Perdana.

“Semua kertas kerja sedang dilaksanakan untuk menjadikan JDT II sebagai satu pasukan sokongan buat Johor Darul Ta’zim (JDT). Jika ia berlaku, JDT II tidak boleh bertanding dalam liga yang sama seperti JDT,” kata Kevin.


“Tetapi ia hanya akan dilaksanakan pada 2018 kerana pelesenan kelab akan dilaksanakan pada tahun tersebut. Jadi, buat musim 2017, tiada apa yang menghalang mereka untuk bersaing dalam Liga Super.”

Bagaimanapun, sekiranya JDT II membuat keputusan saat akhir tidak mahu beraksi dalam Liga Super, Kevin mengesahkan slot berkenaan akan diberikan kepada pasukan di tangga ketiga.

“Jika pengumuman untuk menyertai Liga Super mengenai penswastaan kelab dilakukan pada 2018, dan JDT II tidak memilih untuk mengalami penyingkiran pada musim 2017, mereka boleh menolak daripada menyertai Liga Super musim depan dan pasukan di tempat ketiga akan dipilih untuk menyertai liga tersebut,” jelasnya.

Stadiumastro