FAM Ambil Langkah Tepat – Peter Velappan

Datuk Peter Velappan offers himself to help the FAM find solutionsKUALA LUMPUR 16 Ogos – Tokoh bola sepak negara Datuk Peter Velappan menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempercepatkan Kongres Pemilihan pada tahun depan namun pada masa sama berharap individu yang bakal mengisi jawatan tertinggi bukanlah hadir dari kalangan kerabat diraja ataupun ahli politik.

Velappan, 80, yang pernah mengisi jawatan Penolong Setiausaha FAM dari 1963 hingga 1980, menyifatkan keputusan tersebut dibuat tepat pada masanya memandang­kan ketika ini badan induk bola sepak negara itu sering dipalit kontroversi.

“Memandangkan selepas apa yang berlaku kepada FAM, saya fikir dengan mempercepatkan Kongres Pemilihan pada 2017 merupakan langkah yang tepat.


“Bagaimanapun, saya berharap seandainya pemilihan dibuat, janganlah ada dua golongan ini iaitu kerabat diraja atau ahli politik untuk memegang jawatan ter­tinggi dalam badan induk bola sepak itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, FAM sekali lagi membuat keputusan menolak hasrat Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu meletakkan jawatan, tetapi badan induk itu mempercepatkan Kongres Pemilihan yang sepatutnya diadakan pada 2018 kepada tahun depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah. Bagaimana­pun beliau berkata tarikh untuk mengadakan pemilihan tersebut masih belum diputuskan dan memaklumkan barisan Exco akan terbubar sebaik sahaja tarikh telah ditetapkan.

Velappan, yang pernah ber­khidmat dengan tiga presiden sepanjang 29 tahun menjadi Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 1978-2007, turut mengulas mengenai penarikan diri FAM daripada menganjurkan Kongres FIFA 2017 dengan menyifatkan tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku.