Buat sementara, Timbalan Presiden FAM Boleh Ambil Alih – Jamal

KUALA LUMPUR 30 Julai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu mencari pengganti dalam masa terdekat jika Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu mengucapkan ‘selamat tinggal’ daripada menerajui badan induk itu.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail sebaliknya menegaskan, kekosongan itu wajar diisi oleh salah seorang daripada dua Timbalan Presiden mereka, Datuk Seri Afandi Hamzah atau Datuk Abdul Mokhtar Ahmad sementara menunggu pemilihan Kongres FAM bagi penggal 2018-2022.

“Saya tak boleh cakap siapa yang paling sesuai (untuk menggantikan tempat Tengku Abdullah) sebab bagi saya perkara ini memerlukan orang yang berpengalaman untuk menyelesaikannya.

“Bila-bila masa sahaja Tengku Mahkota Pahang (TMP), Tengku Abdullah boleh melepaskan jawatannya.

“Jadi, sementara menunggu Kongres FAM dua tahun lagi, jawatan No. 1 FAM boleh diberi kepada dua Timbalan Presiden.

“Mereka pilihlah yang mana sesuai untuk menerajui badan induk tersebut sampai 2018. Tiada masalah di situ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung siapa calon paling layak untuk menerajui tampuk ke­pimpinan FAM selepas Tengku Abdullah kelmarin memberi bayangan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden.

Tengku Abdullah yang memegang jawatan Presiden FAM sejak dua tahun lalu menegaskan beliau ‘dalam proses keluar’ dan sudah tidak mempunyai urusan dengan badan induk bola sepak negara itu yang dilanda pelbagai kontroversi sejak ke­belakangan ini.

Dalam masa sama, Jamal Nasir berkata, terpulang kepada ahli gabungan FAM jika bertegas mahu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dalam usaha mencari jalan penyelesaian kemelut itu.

“Kalau mereka merasakan EGM itu perlu, maka saya rasa tiada masalah.

“Terpulang kepada ahli gabungan sebab mereka lebih arif untuk melantik siapa yang paling layak menjadi pemimpin dalam kalangan mereka sendiri,” katanya lagi.