Zlatan Ibrahimovic Akan Kembalikan Kegemilangan United – Larsson

Legenda Sweden, Henrik Larsson, menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Zlatan Ibrahimovic untuk membantu Manchester United kembali ke puncak selepas tiga musim yang mengecewakan.

Selepas memenangi kejuaraan pada 2013 pada musim terakhir Alex Ferguson selaku pengurus, United menyudahkan musim mereka di tangga ketujuh, keempat dan kelima, dengan Jose Mourinho menggantikan Louis van Gaal menjelang permulaan musim 2016-17.

Ibrahimovic meninggalkan Paris Saint-Germain untuk berpindah ke Old Trafford, dan Larsson – yang dipinjamkan singkat di kelab itu pada 2007 – tidak ragu-ragu rakan senegaranya itu akan memberi impak besar dalam Liga Perdana.

“Saya fikir semua orang telah menyaksikannya bermain tapi bagi seseorang sebesarnya dengan teknik dan skil dimilikinya, ia satu kenikmatan menontonnya,” Larson memberitahu laman sesawang rasmi United.


“Sekarang saya harus mengharapkan segala-galanya berjalan baik apabila dia datang menyertai United. Harap-harap dia mampu mengembalikan United ke era kegemilangan mereka.

“Saya tidak fikir usianya akan menjadi satu isu. Dia seorang yang sangat cergas. Dia benar-benar menjaga badannya, jadi itu tidak akan menjadi masalah.

“Saya harap segala-galanya akan berjalan baik kerana United berhak mendapat itu manakala Zlatan berhak kepada segala-gala yang baik yang memihaknya.

“Dia adalah pemain terhebat Sweden sepanjang zaman. Zlatan teramat besar di Sweden, dia adalah pemain nombor satu. Semua orang mengenalinya dan tahu segala-gala mengenainya.”

Ibrahimovic, 34, mungkin membuat penampilan sulungnya untuk United dalam perlawanan persahabatan dengan Galatasaray di Gothenburg pada Sabtu.