Wenger Cari Penyerang Berpengalaman Perkuat Arsenal

arsene-wenger_1809113bPengurus Arsenal, Arsene Wenger, sedang memulakan pencarian untuk satu lagi pilihan di barisan serangan menjelang berakhirnya jendela perpindahan selepas mengakui pasukannya kekurangan penyerang berpengalaman.

The Gunners menang 2-1 ke atas Bintang-Bintang MLS di San Jose pada Khamis, dengan pemain berusia 20 tahun, Chuba Akpom – dipinjamkan musim lalu kepada Hull City – menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87.

Wenger telah mengenal pasti untuk membawa masuk seorang pemain pertahanan sebelum akhir Ogos selepas Per Mertesacker memerlukan tempoh panjang untuk pulih daripada satu pembedahan lutut dan bek tengah Valencia, Shkodran Mustafi, dirasakan sebagai sasaran utamanya.

Namun, jurulatih berbangsa Perancis itu juga berminat untuk memperkuatkan barisan serangannya sesudah bidaannya terhadap Alexandre Lacazette ditolak oleh Lyon bulan ini.

“Pada waktu ini, saya tidak mempunyai banyak pilihan serangan di kalangan penyerang berpengalaman,” katanya.


“Tapi tidak harus lupa juga kami masih ada beberapa pemain (yang ditinggalkan) di tempat sendiri.

“Ada beberapa pemain yang tidak bermain (menentang Bintang-Bintang MLS) seperti (Santi) Cazorla dan tentunya (Mesut) Ozil dan (Aaron) Ramsey. (Olivier) Giroud juga tidak ikut serta ke sini.

“Jadi, kami masih ada beberapa pilihan tapi kami sedang melihat ke luar untuk mencari seorang lagi.”

Dengan Laurent Koscielny masih menjalani pemulihan selepas beraksi untuk Perancis dalam Euro 2016 dan Gabriel Paulista tidak ikut serta kerana masalah kesihatan, pemain bawah 21 England, Rob Holding – baru dibeli dari Bolton Wanderers bulan ini – diberi peluang untuk menambat perhatian di benteng pertahanan Arsenal dalam perlawanan itu.

Dan Wenger tertarik dengan pertunjukan matang pemain berusia 20 tahun itu.

“Dia dapat menyesuaikan diri dengan baik sekali – dia membaca permainan dengan baik dan memahami apa yang sedang berlaku,” tambahnya.

“Pengamatannya juga baik dan itu adalah satu kualiti yang anda tidak selalu lihat daripada seorang pemain semudanya.”