VIDEO Mengasari Pengadil Di Jepun, Bernhardt bakal berdepan tindakan

JURULATIH skuad bawah 23 tahun (B-23), Frank Bernhardt dijangka bakal berdepan hukuman serius daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didapati melakukan kontroversi serta mengasari seorang pegawai seranta ketika skuad kendaliannya tewas 0-1 kepada kelab Jepun, Shonan Bellmare pada 22 Jun lalu.

Berdasarkan rakaman insiden tersebut yang kini menjadi viral di laman sosial YouTube, Bernhardt didapati bertelagah dengan pe­ngadil perlawanan gara-gara tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan sebelum bertindak menyiku seorang pegawai seranta yang cuba menenangkannya.

Insiden tersebut telah mendapat perhatian serius daripada FAM dan persatuan tersebut kini menunggu penjelasan penuh dari jurulatih kelahiran Jerman itu sebaik di pulang dari percutiannya.

Selain itu, FAM juga dikatakan akan menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk mengetahui situasi sebenar dan jika didapati bersalah, Bernhardt bakal berdepan tindakan tegas.

Skuad muda negara itu telah mengadakan siri perlawanan persahabatan di Jepun sejak 10 Jun lalu yang merupakan sebahagian daripada sesi latihan pasukan berkenaan yang bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur nanti.


Ketika berada di Jepun, mereka sepatutnya mengharungi tiga aksi persahabatan tetapi cuaca buruk yang melanda Yokohama menyebabkan aksi menentang satu lagi kelab divisyen satu, Yokohama FC terpaksa dibatalkan.

Bagi siri pertama perlawanan persahabatan berkenaan, skuad muda negara berjaya mengikat FC Machida Zelvia seri tanpa jaringan pada 20 Jun lalu.

Bekas pengendali skuad B-19 dan B-21 Estonia itu dilantik sebagai jurulatih skuad B-23 untuk Projek Sukan SEA 2017 pada Di­sember tahun lalu, menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang kini menggalas tugas sebagai jurulatih Harimau Malaysia.

Bernhardt kini dipertanggungjawabkan untuk membentuk skuad tersebut yang menjadi sandaran untuk memenangi pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA 2017 nanti.