Tunggu Jawapan JDT, Selangor Tawar RM2 Juta Untuk Lepaskan Azrif

Kuala Lumpur: Berbaki enam hari sebelum jendela perpindahan kedua ditutup Jumaat ini, Selangor difahamkan masih menanti maklum balas Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mengenai kedudukan sebenar tonggak pertahanan kanan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Menurut sumber rapat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) skuad Harimau Selatan itu sehingga kini masih berdiam diri walaupun pintu perbincangan sudah dibuka untuk mereka membawa keluar pemain kebangsaan itu.

“FAS sudah meletakkan beberapa syarat sekiranya mereka bersetuju mendapatkan khidmat Azrif dengan antaranya bayaran pampasan kontrak sebanyak RM2 juta.

“Kalau nak diikutkan kemampuan kewangan, saya rasa mereka mampu, tapi persoalannya mengapa hingga kini diam tanpa ada sebarang berita.

“Kalau jadi kata jadi, kalau tak jadi kata tak jadi, kerana Selangor juga perlu membuat persiapan untuk saingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia. Saya lihat mereka seperti sengaja mahu mengganggu fokus dan tumpuan kami,” katanya kepada Arena Metro, semalam.


Sebelum ini, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang juga skuad Liga Super meneruskan hasrat untuk mendapatkan sentuhan Azrif apabila menghantar permohonan rasmi kepada FAS pada 23 dan 27 Jun lalu.

Begitupun difahamkan, Selangor meletakkan nilai penebusan kontrak RM2 juta yang bakal menyaksikan Azrif bergelar pemain paling mahal dalam liga tempatan.

Dengan gaji RM55,000 sebulan selain elaun kemenangan lumayan yang ditawarkan JDT, Azrif turut dijanjikan tempat dalam pasukan JDT selepas mengambil kira faktor usia pemain sedia ada di posisi itu.