TMJ Taja Farkhan Haron RM3.8 juta

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menaja latihan perangkul sulung tali pinggang Majlis Tinju Asia (WBC) Asia Silver kategori cruiserweight negara, Muhammad Farkhan Haron di Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh dua tahun.

Muhammad Farkhan, 28, berkata, hasrat itu dizahirkan sendiri oleh baginda yang dijangka melibatkan dana AS$470,000 (RM1.9 juta) setahun untuk tempoh dua tahun di negara tersebut.

Dia yang dikenali sebagai Farkhan Haron dalam arena tinju negara dan Asia, bersedia berhijrah ke Las Vegas, AS untuk berlatih di Mayweather Boxing Club.

“Saya bersyukur mendapat tajaan daripada baginda yang sudi menampung kos latihan saya selama dua tahun berada di AS. Peluang tersebut amat bermakna demi kelangsungan kerjaya.

“Pengamal tinju tahu untuk bergelar pe­tinju profesional peringkat dunia kita mesti belajar di AS. Itu antara impian saya memahat nama negara dan Johor pada pe­ringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Farkhan, dia kini dalam proses memohon visa dan akan berhijrah ke negara tersebut bersama ibu dan isterinya.





“Saya teruja untuk berlatih di sebuah kelab milik petinju Floyd Mayweather Jr. Jika di Malaysia saya mungkin aktif antara usia 28 hingga 32 tahun tetapi jika berlatih di AS saya mampu bertahan sehingga melebihi usia 36 tahun,” jelasnya.

Di sebalik kejayaannya, dia melahirkan rasa kesal kerana tiada sebarang bantuan daripada kerajaan Pusat ketika dia berusaha meletakkan nama negara pada peringkat antarabangsa.

“Saya bertemu sendiri de­ngan Tunku Ismail selepas buntu mencari dana untuk menaja saya. Saya pergi kepada kementerian berkaitan dan pelbagai syarikat tetapi proposal saya ditolak. Mujur ­Tunku sudi membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Farkhan dikehendaki bertarung dengan seorang daripada 14 pe­tinju terbaik Asia dalam tempoh enam bulan demi mempertahankan tali pinggang yang dimilikinya.

Pada Sabtu lalu, sejarah baharu dilakar pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 itu di Far East Square, Singapura apabila mudah menumbangkan petinju Indonesia, Elly Pangaribuan secara technical knockout (TKO), sekali gus merangkul tali pinggang WBC Silver Asia sulung buat negara.

Pada tahun 2012, Muhammad Farkhan cedera parah dan terpaksa dirawat di Hospital Pakar Puteri di sini selama dua minggu selepas dibelasah sekumpulan lelaki setelah diminta datang ke rumah salah seorang tertuduh.

Dalam kejadian itu, Farkhan dipaksa memakan cili, diikat tangan dan kaki serta dikurung di dalam boot kereta selama 45 minit.

TMJ yang juga kenalan rapatnya sentiasa memberi sokongan moral serta bantuan kepada Farkhan selepas kejadian.