TMJ Sedia ‘Ajar’ FAM, Khairy Mahu Jumpa TMJ

Seperti sudah tersurat, Jun lalu ada ura-ura pemain Harimau Malaysia akan melakukan protes secara senyap.

Perkara ini pantas dinafikan oleh Kim Swee apabila diminta memberikan komen manakala Presiden FAM sendiri mahukan pemain berjumpa terus dengan pengurusan FAM jika ada tidak kepuasan hati dengan badan induk bola sepak Malaysia itu.

Hari ini, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal mengumumkan persaraan daripada Harimau Malaysia, sehari selepas kapten pasukan, Safiq Rahim, dan Aidil Zafuan Abdul Radzak membuat keputusan sama semalam.

“Saya boleh memberi jaminan kepada anda, bahawa saya akan melakukan apa sahaja untuk membunuh korupsi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mereka-mereka yang terlibat.”

Demikian luahan rasa tidak puas hati pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, terhadap badan induk bola sepak negara dalam perenggan terakhir satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers, sebentar tadi.

Katanya, Malaysia memerlukan ‘orang bola sepak’, jurulatih profesional dan bukannya ‘businessman’, sambil menyentuh peranan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

“Untuk FMLLP, anda sepatutnya menjaga kepentingan kelab dan penyokong. Bukan kepada beberapa individu-individu tertentu yang membuat jutaan ringgit,” kata TMJ yang terlebih dahulu mengulas mengenai tindakan empat pemain JDT bersara daripada pasukan kebangsaan.

Tunku Ismail yang menyokong keputusan itu berkata, pemain terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak pernah mengambil berat hal-ehwal kebajikan pemain dan memohon peminat memahami tindakan mereka.

BACA: Kim Swee Tuntut Harimau Malaysia Kekal Momentum, Nafi Diprotes Pemain

“Mereka terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak pernah mengambil hal ehwal kebajikan mereka dan tidak berbuat apa-apa apabila rakan-rakan mereka tidak menerima gaji dari kelab masing-masing. Mereka terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak pernah menghadiri sebarang latihan atau pun mesyuarat.

“Mereka terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak mengetahui nama mereka dan kewujudan mereka. Mereka terpaksa juga bermain untuk sebuah organisasi yang tidak ambil kisah apabila mereka mengalami kecederaan.

“Saya berdiri bersama pemain-pemain ini. Terdapat lebih ramai lagi pemain yang mahu mengambil tindakan yang sama seperti pemain JDT lakukan tetapi mereka terlalu takut dengan pengurusan mereka.


“Tuan-tuan dan puan-puan. Mudah bagi anda untuk memberi komen dan mengkritik. Tetapi jika anda berada di tempat mereka, saya rasa anda juga akan melakukan perkara yang sama. Mereka telah cuba pelbagai cara yang sepatutnya dan profesional yang mungkin untuk mengendalikan perkara-perkara ini seperti merujuk kepada FAM, dan juga menyuarakan masalah mereka kepada jurulatih dan pegawai FAM,” katanya dalam kenyataan lima perenggan itu.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan mengadakan pertemuan dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berhubung persaraan empat pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada skuad negara.

Khairy berkata, beliau memandang serius perkara tersebut dan perjumpaan dengan pemilik JDT itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perjumpaan dengan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu adalah penting bagi mengetahui punca sebenar empat pemain berkenaan mengambil keputusan sedemikian dalam tempoh kira-kira 48 jam.

Tambah Khairy, dia ‘terpaksa’ menganggap keputusan ini hadir daripada pemain sendiri walaupun keputusan persaraan ini hanya di umumkan dalam laman web rasmi Johor Southern Tigers dan bukan dari mulut pemain pemain itu sendiri.

BACA: Tampil Sekiranya Tidak Puas Hati Dengan FAM – Tengku Abdullah

Khairy berharap pertemuan dengan TMJ membolehkannya melihat secara mendalam mengenai dakwaan Tunku Ismail bahawa pemain JDT mengalami kecederaan sekembalinya daripada mewakili skuad kebangsaan selain mendakwa tempoh latihan yang singkat mendorong kepada kecederaan tersebut.

“Kalau itu adalah pandangan TMJ, maka perlu kita buat perubahan kepada sesi latihan untuk skuad kebangsaan tapi beri masa kepada saya untuk buat kajian dengan lebih mendalam bagi mencari apa sebenarnya yang menjadi masalah,” katanya.

Stadiumastro/Utusan